Selangor Mahu Dua Wakil Dalam Tribunal Pembangunan

1042

Sidang Dewan Negeri Selangor semalam telah meluluskan resolusi untuk memberi kuasa eksekutif kepada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan menubuhkan TPS tetapi mahu 2 wakil dari Selangor dilantik sebagai anggota tribunal tersebut.

Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Dato’ Iskandar A. Samad, TPS akan ditubuhkan di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) tetapi akta ini perlu mendapat persetujuan negeri-negeri untuk dilaksanakan di peringkat negeri.

“Tanpa persetujuan negeri, akta ini tidak dapat dikuatkuasakan atau TPS tidak boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah di pembangunan berstrata seperti pangsapuri dan kondominium.

“Kerajaan negeri bersetuju akta baru ini amat diperlukan kerana akta yang digunapakai sebelum ini, Akta Bangunan Dan Harta Bersama (Penyelenggaraan Dan Pengurusan) 2007 (Akta 663) mempunyai banyak kelemahan dan tidak lengkap,”ujarnya dalam satu kenyataan

Oleh yang demikian, kata beliau, Kerajaan Negeri Selangor sebelum adanya akta baru ini terpaksa membuat peraturan-peraturan tambahan berkaitan pembangunan strata bagi menyelesaikan masalah-masalah di pembangunan tersebut.

Pesuruhjaya PAS Selangor itu menambah, kerajaan persekutuan telah mengambilkira peraturan-peraturan tambahan ini di dalam menyediakan akta yang baru tersebut.

“Sebelum ini juga kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) telah mewujudkan satu jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa PRIHATIN untuk mendengar aduan-aduan melibatkan pembangunan berstrata.

“Tetapi dengan penguatkuasaan akta baru, TPS akan mengambil alih tugas Jawatankuasa PRIHATIN,”jelasnya

Tegasnya, kerajaan negeri sentiasa berada di hadapan di dalam usaha-usaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk pembangunan berstrata. Ini terbukti apabila kerajaan persekutuan mengambilkira usaha-usaha kerajaan negeri apabila merangka akta baru ini.