Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) merasa kecewa kerana indeks rasuah di negara ini semakin merosot untuk tiga tahun berturut-turut, iaitu dengan mencatat 4.3 tahun ini berbanding 4.4 tahun lepas. Dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International (TI) baru-baru ini menunjukkan kedudukan Malaysia telah jatuh kepada tangga ke 60 daripada 183 negara, berbanding tangga ke 56 daripada 178 negara pada tahun lepas.
Bagi DPP Malaysia, kemerosotan ini menunjukkan iklim negara ini tidak sihat serta tidak selamat untuk dilawati kerana sarat dengan gejala rasuah. Ia juga sebagai tanda bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada kepemimpinan negara ini, sama ada pucuk kepemimpinan negara tidak mengambil berat masalah rasuah atau mereka sendiri terpalit dengan rasuah. Kedudukan ini juga pastinya amat memalukan bagi sebuah negara umat Islam seperti Malaysia. Imej Malaysia menjunam teruk di mata masyarakat antarabangsa terutama kepada negara-negara bukan Islam. Malaysia tidak lagi boleh berbangga sebagai sebuah negara Islam yang hebat kerana Indeks rasuah menggagalkan negara dipandang tinggi pada pandangan masyarakat dunia.
DPP Malaysia berpandangan, prestasi Indeks Rasuah (CPI) membuktikan bahawa Perdana Menteri telah gagal dalam membina sebuah negara yang berjaya dan bebas daripada rasuah. Meskipun pelbagai pendekatan yang dibawanya dengan slogan manis ‘Transformasi’, sebenarnya slogan ini tidak membawa negara ke mana, malah menjerumuskan lagi negara ke lembah rasuah yang lebih parah. Dengan pelbagai isu yang berlaku di negara ini, daripada sekecil-kecil nya sehinggalah kepada rasuah melibatkan pemimpin besar negara nampaknya PM terus gagal memastikan kabinet pimpinannya dan agensi kerajaan di bawah kepemimpinan beliau bersih dari rasuah. PM terlalu berlembut dengan orang bawahannya yang dikaitkan dengan rasuah sehingga tiada tindakan tegas diambil.
DPP Malaysia menegaskan kesan rasuah amat besar terhadap rakyat dan negara ini. Penyelewengan kuasa, penindasan, kronisme, monopoli, penipuan, jenayah sehingga boleh merosakkan peradaban sesebuah negara. DPP Malaysia bimbang, jika rasuah merosot lagi buat kali keempat tahun hadapan, negara akan menuju kehancuran dan rakyat akan hilang nilai kemanusiaannya.
Justeru, DPP Malaysia menyeru rakyat agar selamatkan negara dari ambang kehancuran dan jalan terbaik adalah dengan menggantikan kerajaan BN dalam PRU ke 13. Usah diharapkan kepada perubahan yang tidak kunjung tiba, kerana telah berdekad lamanya mereka diberi peluang memperbaiki negara ini. Malangnya BN tidak menghargai peluang yang rakyat berikan ini malah mensia-siakannya
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia





























