Hari ini, Selasa 25 Mac, adalah hari polis sedunia an saya ucapkan selamat menyambut Hari Polis kepada anggota PDRM dari semua cabang dan unit. Jasa bakti kalian semua dalam menjaga ketenteraman awam, hanya Allah yang mampu membalasnya.
Pernah di suatu dinihari, kira-kira jam 3 pagi, ketika dalam perjalanan pulang dari menghadiri program parti, saya singgah minum di satu kedai kopi yang dirahsiakan lokasinya atas sebab keselamatan, turut singgah juga sebuah kereta peronda polis dengan 2 anggota, seorang berpangkat lans koperal, seorang lagi koperal.
Tampak keletihan di wajah mereka berdua setelah semalaman melakukan tugas rondaan. Sambil bertanya khabar ringkas, saya bayarkan harga minuman mereka yang tak seberapa nilainya.
“Dari mana ustaz?” Tanya polis yang berpangkat koperal.
“Ginilah saya Tuan, baru balik dari ceramah.” Jawab saya.
“Kesian Ustaz, dinihari tak sampai rumah lagi.” Anggota yang berpangkat lans koperal menyampuk.
“Orang politik macam saya, siang malam serupa je…” jawab saya sambil bergurau.
“Bagus ustaz! Buat kerja sungguh-sungguh lawan Umno. Lok ko (biar kepada) awok-awok ni, nyakyo(kesian) anak cucu kita.” Terkejut saya bila anggota yang berpangkat koperal bersuara begitu.
“Heheee…” saya hanya ketawa tanpa makna.


Saya tahu, semua itu adalah kerana arahan orang politik yang menggunakan kekuatan polis untuk menghadapi kebangkitan rakyat demi kelangsungan kuasa mereka yang semakin menipis di hati rakyat. Polis hanya mematuhi arahan. Sebahagian mereka bukannya orang lain, anak beranak kita juga.
Beberapa orang insan yang menyarung pakaian seragam biru tua adalah antara teman rapat saya. Kami berkawan dengan mengenepikan fahaman politik atas dasar kemanusian. Ada yang berpangkat Penolong Pesuruhjaya Polis, Penguasa dan Ketua Inspektor.
Mungkin tak salah kalau saya maklumkan, Ketua Polis Pulau Pinang sekarang adalah pelanggan di klinik saya ketika Dato’ Abdul Rahim bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Kelantan. Beliau datang ke klinik kerana profesion saya sebagai dental surgeon, bukan kerana saya pemimpin PAS. Tambahan pula rumah sewanya di Bandar Baru Kubang Kerian, berhampiran dengan klinik. Dato’ Rahim antara pegawai polis yang saya hormati dengan kebolehannya tampil di mimbar Jumaat berkhutbah dengan uniform polis.
Antara sahabat baik saya juga seorang pegawai polis yang saya kenali semenjak beliau berpangkat ASP lagi. Alhamdulillah, beliau semakin maju dalam karier sehingga sekarang sudah menyandang pangkat Superintendan. Pernah saya bergurau dengannya, “saya nak tengok Tuan jadi Ketua Polis Kelantan suatu hari nanti.”
Anggota-anggota polis yang bertugas di Istana Kelantan juga adalah antara pelanggan saya. Mungkin kerana beberapa orang kerabat diraja turut menjadikan klinik buruk saya sebagai tempat mereka mendapat rawatan.
Kalau diizinkan PR memerintah, khidmat anggota yang sama juga akan digunakan. Pada ketika itu, tentunya bukan arahan dari Umno lagi yang mereka dipatuhi.
Selalu kita dengar ungkapan, berkawan dengan polis, ‘jangan masuk dalam perut.’ Kena hati-hati! Bagi saya dengan semua orang kita perlu berhati-hati.
Selamat Menyambut Hari Polis untuk anak sepupu saya, Sahni Hussain di Unit FRU, Kuala Lumpur. Juga kepada orang kampung saya, Mail di UTK Kuala Lumpur. Tak lupa buat Mazmin Mohamad, sebagai pegawai pengiring orang kenamaan. Ramai lagi kalau saya nak sebut.





























