Sejauh Manakah Mahathir Boleh Sebantal Dengan Lim Kit Siang?

1803

Oleh : Naraza Muda

Saya membesar di era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamed menjadi Perdana Menteri. Memang diperakui Malaysia dicorakan dengan gaya pimpinan negarawan ini. 22 tahun bukan satu tempoh yang pendek untuk dinafikan.

Sedikit sebanyak rakyat tahu dan boleh menilai sentimen melayu yang cukup kuat menjadi pegangan Tun. Tidak dinafikan juga hak orang melayu banyak tergadai zaman pentadbiran beliau.

Tun Mahathir mula mengambil tampuk pemerintahan negara pada tahun1981 dan menyerahkan pentadbiran ketua negara kepada penganti pilihan beliau sendiri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2003. Beliau melalui zaman akhir pemerintahan dengan kedudukan kerusi Parlimen Barisan Nasional kian menyusut.

Hanya beberapa tahun persaraan Tun Mahathir, beliau cuba menggangu pentadbiran Abdullah walaupun Pak Lah berjaya memulihan kedudukan kerusi Parlimen Barisan Nasional selepas Pilihan Raya Umum 2004. Walaupun kejayaan memulihkan Barisan Nasional dianggap berjaya di zaman Pak Lah, ianya tidak lama. Selepas itu berbagai masalah pentadbiran mulai timbul. Gelaran Perdana Menteri tidur, lembap dan sebagainya mulai kedengaran. Menantu Pak Lah Khairy Jamaludin turut dikaitkan dengan kecelaruan pentadbiran Pak Lah.

Najib Razak dilantik mengantikan Pak Lah dengan peralihan kuasa rundingan di atas campur tangan Tun Mahathir. Kini giliran Najib pula melalui saat campur tangan Mahathir, cuma caranya agak berbeza.

Setelah usaha mengangkat Tan Sri Muhyyiddin Yassin menganti Najib dengan isu 1MDB gagal dan dihidu awal oleh kumpulan penyokong Najib, usaha Tun Mahathir menjadi sukar, bahkan Muhyyiddin dipecat dari Timbalan Perdana Menteri, anak Tun Mahathir juga ditendang dari kerusi Menteri Besar Kedah.

Lebih parah lagi, tiga pemimpin utama dipecat dari parti. Tan Sri Muhyyiddin dan Mukhriz Mahathir dipecat, manakala Menteri yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO dari Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Afdal meninggalkan UMNO setelah digantung.

Dalam masa yang sama Mahathir dilihat menggunakan strategi diluar jangkaan penganalisis politik . Tun dilihat bersama DAP untuk melunaskan hasratnya setelah tiga pemimpin harapan beliau tidak berada di dalam UMNO lagi.

Apakah dengan semangat tokoh pejuang melayu yang sangat tebal di dalam jiwanya, Tun Mahathir mampu duduk, tidur sebantal dengan Lim Kit Siang? Seingat saya sepanjang Tun menerajui Negara, hanya dimajlis pelancaran Satelit Malaysia kedua MEASAT-2 pada November 1996, Tun dan Lim Kit Siang ( Ketua Pembangkang sewaktu itu) dilihat akrab dan boleh duduk bersama. Itu pun di luar negara.

Sejak kebelakangan ini, Tun acap kali dilihat bersama pimpinan DAP. Apakah Tun mampu menarik ahli UMNO untuk bersamanya untuk duduk sebaris dengan ahli DAP? Sebab itu saya katakan pendekatan kali ini di luar jangkaan.

Tun Mahathir ada buat pengumuman untuk menubuhkan gerakan gagasan pakatan pembangkang baharu untuk bersama menjayakan menjatuhkan Najib. Tidak pula disebut untuk menjatuhkan UMNO atau Barisan Nasional. Jika saya terlepas pandang, jika ada Tun Mahathir sebut nak jatuhkan UMNO dan Barisan Nasional, saya minta maaf.

Saya sendiri pernah berjumpa Tun Mahathir di Yayasan Perdana Putrajaya beberapa tahun tahun lalu. Tun mengungkapkan mesti kita jatuhkan Najib untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional kekal selepas PRU14.

Tun ketika ini juga dilihat mendapat sokongan dari pimpinan PKR kecuali keluarga terdekat Anwar Ibrahim yang masih menerajui PKR. Apakah Tun mampu mendapat kemaafan dari Presiden PKR di atas penderitaan Anwar Ibrahim sejak dipecat dari Timbalan Perdana Menteri dan UMNO dan Anwar mengerakan satu kebangkitan rakyat menentang tindakan Mahathir dengan gerakan reformasi 1998.

Menariknya kali ini Tun Mahathir berjaya memanggil sebahagian pimpinan pusat PKR dan DAP untuk duduk mengelilinginya. Jika PKR mungkin tidak pelik kerana mereka dari parti UMNO juga, tetapi punca penubuhan PKR ialah pertembungan Anwar dan Tun Mahathir.

Jika Tun Mahathir mampu menundukan sebahagian besar pimpinan PKR tidak mustahil keluarga terdekat Anwar juga akan ditundukan. Ini kehebatan politik Tun Mahathir walaupun umurnya sudah melepasi 90 tahun.

Persoalan menarik juga yang bermain difikiran saya ialah kenapa PAS tidak bersama Tun Mahathir untuk menjatuhkan Najib? Walaupun saya mendapat jawapan dari PAS tetapi saya cuba mengupas dan menjejaki pemikiran politik Mahathir yang kian menarik. Atau Mahathir tidak mampu mempengaruhi pemimpin utama PAS?

Jika ini benar, PAS ialah satu parti yang sangat kukuh, berpendirian dan berpegang kepada prinsip serta tidak mudah digula-gulakan. Kembali kepada persoalan topik Mahathir dan DAP ini kita sama-sama lihat sejauh manakah Mahathir mampu mengheret ahli UMNO untuk bersekedudukan dengan DAP.