Sebuah Rumah Lama Tinggalan Yahudi

1093

Oleh: Dr Azman Ibrahim

Saya masih ingat lagi, berdekatan dengan Saddam Medical City, suatu kompleks perubatan yang menempatkan Kompleks Hospital Universiti Baghdad serta Kuliah Perubatan dan Kuliah Pergigian Universiti Baghdad, terdapat sebuah rumah lama yang agak besar serta telah ditinggalkan pemiliknya.

Kebetulan rumah ini terletak di tepi jalan yang menjadi laluan saya menapak setiap hari untuk ke kuliah dari akhir 1993-1999.

Tertarik dengan binaannya yang agak menarik dengan senibina lama Iraq dan melihat ia ditinggalkan begitu sahaja, sekitar tahun 1993, saya tanya seorang Pak Cik yang mengusahakan sebuah kedai Fotostat berhampiran dengan rumah tersebut. Siapa pemilik rumah ini dan kenapa ia ditinggalkan begitu sahaja?

Jawab Pak Cik tersebut, rumah ini asalnya adalah milik satu keluarga Yahudi yang telah memeluk Islam. Mereka menetap di Iraq semenjak era Kerajaan Uthmaniah lagi. Menjadi rakyat Kerajaan Islam Uthmaniah, hidup aman damai di bawah khilafah Islam. Sebahagian besar ahli keluarga mereka berhijrah ke luar negara sehinggalah penghuni rumah ini yang terakhir meninggal dunia kira-kira 10 tahun yang lepas. Akhirnya rumah ini terbiar begitu sahaja sampai sekarang.

Agak menarik untuk mendapat fakta bahawa ada bangsa Yahudi yang telah memeluk Islam dan menjadi rakyat yang bernaung hidup aman damai di bawah sebuah pemerintahan negara Islam. Tida hak miliknya yang diceroboh malah apabila rumah ini ditinggalkan tanpa pemilik, setakat saya berada di Iraq sehingga 1999, tiada siapa yang mengambil alih hak mereka.

Saddam Medical City yang telah ditukar nama kepada Baghdad Medical City selepas kejatuhan Iraq pada 2003 adalah tempat di mana saya telah menghabiskan 6 tahun dari umur saya. Terlalu banyak suka duka yang telah saya lalui di sini.

Dr Azman IbrahimSetiap hari menapak melintasi di hadapan rumah Yahudi tersebut, saya selalu terfikir bahawa bangsa Yahudi adalah ciptaan Allah. Tidak ada apa yang salahnya kerana dia berbangsa Yahudi. Yahudi adalah satu bangsa sebagaimana bangsa-bangsa yang lain. Yang salahnya adalah Yahudi yang menjadi Zionis! Menjadi pengganas yang merosakkan dunia.

Keadilan Islam memberi jaminan kedamaian untuk semua bangsa. Hak mereka terjamin dan tidak boleh sama sekali dirampas. Hatta dizaman Saddam yang memerintah Iraq dengan ideologi sosialis, tetapi atas dasar Saddam seorang Islam, tetap hak mereka dijamin.

Bagaimana pula perlakuan bangsa Yahudi kepada bangsa lain saat mereka berkuasa??