Saya Kehilangan Sahabat Yang Setia, Istiqamah, Ikhlas Dan Gigih Berjuang

1021

Oleh : Zakaria Dagang

Sebelum saya mula masuk tidur malam tadi, saya menerima panggilan telefon dari seorang kenalan yang memaklumkan sahabat kami, Mohd Noor Jusoh yang sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dalam keadaan tenat.

Saya terus menghantar mesej kepada sahabat-sahabat yang lain agar mendoakan yang tebaik untuk beliau. Agak sukar bagi saya untuk melelapkan mata selepas mendapat berita itu. Tetapi dek kerana keletihan memandu pada siang dan awal malam, saya terlena juga.

Apabila saya terjaga pada kira-kira jam 1.30 pagi, saya terus membuka telefon bimbit saya. Terdapat dua panggilan tidak dijawab dan beberapa mesej WhatsApp.

Berita yang menyedihkan, sahabat kami Mohd Noor telah kembali ke rahmatullah pada jam 12.30 malam tadi. Saya terus menghubungi nombor berkenaan untuk mendapat kepastian urusan jenazahnya.

Sesuai solat Subuh, saya terus ke rumah ayahnya di mana jenazahnya ditempatkan. Setelah berbincang dengan ahli keluarganya, saya mengambil tanggungjawab membuat segala urusan berkaitan.

arwah mohd nor3Sepanjang lebih kurang tiga jam saya berada di rumahnya, begitu ramai orang yang datang menziarahi jenazahnya. Bukan sahaja ahli keluarganya, bahkan yang paling ramai ialah kenalannya.
Almarhum memang terkenal seorang yang sangat peramah. Rata-rata kenalannya menyebut, apabila bersua, beliau memang akan lebih dahulu menyapa. Sifatnya yang ringan tulang atau dalam istilah Terengganu disebut “tak amuk reng” disenangi oleh semua orang termasuk ahli keluarganya yang pastinya akan meninggalkan kenangan kepada sesiapa yang pernah berurusan dengannya.

Almarhum tidak pernah tertinggal daripada menyertai apa-apa program yang dianjurkan. Dalam program-program di peringkat Cawangan dan Dun, sudah pasti beliau menjadi petugas yang sangat komited.

Kelibatnya pasti kelihatan dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di sekitar Seberang Takir ini, terutama di surau-surau Al-Ikhwan, Al-Mawaddah dan An-Nur.

Almarhum berumur 53 tahun, meninggalkan seorang balu dan lapan orang anak. Baru seorang daripada anaknya sudah bekerja selepas tamat pengajian di universiti awam. Dua orang sedang menuntut di universiti awam, tiga di sekolah menengah dan dua orang di sekolah rendah.

Alhamdulillah, enam daripada lapan orang anaknya telah didaftarkan sebagai ahli PAS sebagai usaha beliau memastikan anak-anaknya bersama jemaah Islam. Almarhum juga akan membawa bersama anak-anaknya dalam program-program anjuran parti dan kuliah-kuliah di masjid dan surau.

arwah mohd norrSolat jenazahnya disempurnakan pada jam 11.30 pagi tadi dengan diimamkan oleh Dato’ Dr Abdullah @ Abas Abu Bakar. Rumah besar ayahnya padat dengan ahli jemaah yang ramai yang datang dengan sukarela. Ramai yang kedengaran menangis ketika solat jenazah tadi.
Itulah balasan Allah yang jelas kepadanya yang dapat kita lihat kerana almarhum semasa hayatnya sangat mengambil berat tentang hal-hal kematian. Beliau akan menziarahi, solat dan mengiringinya hingga ke kubur jenazah sama ada yang dikenali rapat atau tidak.

Di tanah perkuburan juga ramai sahabat handai dan kenalan yang datang mengiringinya dan berdoa untuknya.
Semua orang yang mengenalinya dan biasa dengannya pasti akan terasa kehilangannya. Secara peribadi, saya pasti sentiasa merinduinya. Saya kehilangan sahabat yang setia, istiqamah, ikhlas dan gigih berjuang.

Semoga beroleh pengampunan Allah dan dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama para solihin.

***Ustaz Zakaria Dagang ialah Pengerusi Majlis Tindakan DUN Seberang Takir. Allahyarham Mohd Nor Jusoh meninggalkan dunia setelah dirawat di hospital sejak minggu lalu kerana diserang ‘angin ahmar’