Terengganu masih ada seluas sekitar 12 ribu hektar tanah terbiar. Kita ada ramai anak muda yang tiada pekerjaan. Sihat dan bertenaga adalah keistimewaan yang dimiliki oleh majoriti anak muda. Ada pelbagai skim bantuan yang disediakan oleh pelbagai agensi dan jabatan. Rakyat Terengganu juga makan hasil tanaman dan produk asas tani yang dibawa masuk dari negeri lain. Bermakna pasaran kita sebenarnya luas dan permintaan tinggi.
Saya bentangkan senario ringkas di atas untuk mengambarkan ruang dan peluang yang ada di depan kita. Ruang untuk anak muda membina ekonomi dengan menceburi bidang pertanian. Minda anak muda sebenarnya sudah berubah. Saya tak dengar lagi orang bercakap bahawa pertanian ialah bidang orang gagal.
Suatu fakta, dikalangan 10 orang Exco Kerajaan Negeri Terengganu, saya adalah anggota Exco yang paling muda. Walaupun begitu, saya tak ditugaskan di Portfolio belia. Sebaliknya Portfolio Pertanian dan Industri Asas Tani diberikan kepada Exco termuda. Anak muda Terengganu mesti melihat susunan ini mengambarkan satu hasrat yang jelas dari Kerajaan Negeri.
Hasrat supaya anak muda melihat pertanian ialah bidang untuk anda semua. Pertanian suatu perniagaan yang boleh membawa kemajuan. Maju bukan hanya mesti dibina kawasan industri dan kompleks perniagaan. Kemajuan mesti difahami secara nyata dengan realiti setempat.
Saya bekerja keras untuk meningkatkan penglibatan anak muda dalam industri berasaskan pertanian. Ke serata tempat kita turun bersama teraju jabatan-jabatan di bawah Portfolio Pertanian dan Industri Asas Tani. Kita mahu anak muda mendapat maklumat yang sepatutnya. Maklumat ini akan membuka jalan.
Biar mereka rasa mesra dengan Pengarah Pertanian, Pengarah Perikanan, Pengarah LKIM, Pengarah Veterinar, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, Pengarah KETARA, Pengarah FAMA, Pengarah Lembaga Perindustrian Nenas dan lain-lain lagi. Semua jabatan ini diwujudkan untuk membantu rakyat.
Saya menjadi orang tengah agar jambatan perhubungan antara jabatan dan rakyat boleh dieratkan serta manfaat bersama boleh dituai. Tanpa rakyat maka semua jabatan ini tak perlu ada. Sebagai Exco Pertanian, saya menghargai komitmen dan kerjasama semua ketua-ketua jabatan yang bersedia untuk berpeluh di medan bersama saya.
Dr Azman Ibrahim
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu.











