Oleh : Ustaz Ahmad Yakob
Firman Allah Taala:
مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا
Maksudnya: Dikalangan orang yang beriman itu adanya pejuang hebat yang benar terhadap janjinya kepada Allah. Dikalangan mereka ada yang telah syahid dan dikalangan mereka ada yang masih menunggu sebagai syuhada’ dan mereka sesekali tidak menukar prinsip perjuangan mereka.
( Al-Ahzab: 23 )
Hari ini terasa sangat hiba, baharu sehari rakyat di Negeri Kelantan kehilangan sosok Rijal yang agung dalam harakah islamiyah dan pengasas Kerajaan Membangun Bersama Islam. Saya pernah diamanahkan sebagai Timbalan Menteri Besar oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat Pada 23 Mac 2004. Tok Guru banyak mengajar serta memberi pengalaman kepada saya dan hari ini saya sangat terasa kehilangan beliau dengan pemergian buat selamanya ini. Dialah bapa dialah sahabat saya dalam mengemudi bahtera Kerajaan Kelantan.
Tok Guru kemudian meminta saya bersama berjuang dengan beliau dan sahabat-sahabat pada masa itu untuk membangunkan pentadbiran Negeri Kelantan secara lebih menepati kehendak islam dan Tok Guru memberi mandat kepada saya untuk menumpukan kepada bahagian pengurusan dan tadbir urus Kerajaan Negeri. Jawatan saya yang pertama ditugaskan oleh Tok Guru sebagai Exco Kerajaan Negeri ialah Pengerusi Jawatankuasa Industri, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia iaitu pada tahun 1997.
Saya amat tenang dan rasa lapang berkhidmat dibawah kepimpinan Tok Guru kerana beliau tersangat unik dan begitu hikmah dalam memimpin Kerajaan Negeri tambahan pula dengan kehebatan ilmu yang dimiliki dan bertaraf seorang Tuan Guru dapat memimpin sebuah Kerajaan adalah satu peristiwa terpenting yang dicatat dalam sejarah politik Negeri Kelantan. Latar belakang pendidikannya yang berkemahiran dalam bidang tafsir, bahasa arab dan juga perundangan islam tidak sama dengan Menteri-Menteri Besar lain. Beliau sering menekankan soal mendaulatkan islam dan beliau tidak bertindak serta tidak melakukan sesuatu kecuali untuk kepentingan islam semata-mata.
Pesanannya sentiasa terngiang-ngiang ditelinga saya betapa beliau seorang murabbi yang tidak lekang daripada memberi nasihat dan tazkirah walau dimana berada. Teringat saya kepada ‘kuliah senafas’ yang sentiasa mendidik rohani dan memberi thaqafah di kalangan pimpinan parti, pegawai dan kakitangan kerajaan serta rakyat jelata. ‘Kuliah senafas’ ini sentiasa diberikan oleh beliau sejurus solat subuh setiap hari di masjid beliau di Pulau Melaka juga sebelum bermulanya mesyuarat perhubungan Negeri dan lain-lain mesyuarat.
إِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ عَبْدًا دَعَا جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلامُ، فَقَالَ إِنِّي أُحِبُّ فُلانًا فَأَحِبَّهُ، قَالَ فَيُحِبُّهُ جِبْرِيلُ، ثُمَّ يُنَادِي فِي أَهْلِ السَّمَاءِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ فُلانًا فَأَحِبُّوهُ، قَالَ فَيُحِبُّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ، ثُمَّ يُوضَعُ لَهُ الْقَبُولُ فِي الأَرْضِ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah apabila kasih kepada seseorang hamba-Nya lantas Allah memanggil Jibril seraya menyatakan; Sesungguhnya Aku kasih kepada si fulan maka kasihilah dia. Lalu Jibril mengasihinya dan mengumumkan kepada para penduduk langit bahawa Allah mengasihi si fulan maka kasihilah kalian semua akan dia, maka semua penduduk langit mengasihinya seraya berkata; kemudian letakkanlah rasa kasih sayang ini juga kepada semua penduduk bumi. ( Riwayat Muslim )
Sesungguhnya Tok Guru amat dikasihi oleh rakyat, walaupun terdapat rakan politik yang tidak sehaluan pandangan, mereka akhirnya tetap menghormati dan tidak berdendam kepada Tok Guru. Hari pemergiannya, lautan manusia dari seluruh Negeri dan Negara luar turut hadir, daripada sekecil-kecil pangkat manusia hinggalah sebesar-besar pangkat dan daripada pelbagai lapisan umur, bangsa dan agama hadir memberi penghormatan terakhir kepadanya. Allahlah yang meletakkan rasa hormat dan kasih ini kepada hamba-Nya yang bagi saya telah mencapai keahlian ‘Kekasih Allah’ yang sentiasa diimpikan oleh kita semua dan Tok Guru telah melaksanakan dengan penuh amanah terhadap segala janjinya kepada Allah. Bersemadilah dengan tenang wahai Murabbi Ummah.