Terengganu, Malaysia

Saudi Cadang Hukuman Lebih Berat Kesalahan Hina Nabi SAW

Undang-undang yang bakal digubal itu menyusuli tindakan menghina Nabi Muhammad saw oleh seorang penulis blog Arab Saudi, Hamza Kashgari, 23 tahun, melalui ulasannya di Twitter sekitar lima bulan lalu.

“Dalam masa dua bulan, Majlis Syura akan mendedahkan hasil satu kajian mengenai undang-undang bagi memerangi kritikan terhadap rukun asas syariah Islam,” kata sumber-sumber yang tidak dinamakan kepada akhbar al-Watan, sambil menambah bahawa “hukuman berat” mungkin dijatuhkan ke atas mereka yang melanggarnya.

Kritikan-kritikan yang bakal dihukum di bawah undang-undang itu termasuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad serta tokoh-tokoh dan ulama silam Islam, kata laporan itu.

“Undang-undang itu pennting pada masa ini kerana pelanggaran yang berlaku melalui rangkaian media sosial di Internet telah dilihat sejak beberapa bulan lalu,” kata sumber-sumber itu.

Arab Saudi mengikut versi Islam Sunni yang agak ketat dan kesalahan ingkar agama boleh dikenakan hukuman mati.

Seorang jurucakap Majlis Syura, sebuah badan yang dilantik bagi menasihati kerajaan Arab Saudi berhubung isu-isu yang berkaitan dengan agama, belum menjawab sebarang usaha mendapatkan ulasan.

Kes Kashgari mencetuskan perdebatan hangat di Arab Saudi mengenai sama ada ucapan taubat boleh menyelamatkan pesalah daripada hukuman mati.

Kashgari melarikan diri dari negaranya pada Februrai lalu, selang beberapa hari dia menyiarkan ulasannya di Twitter, tetapi kemudian ditangkap polis Malaysia semasa dia berada di sana dalam perjalanannya ke New Zealand.

Walaupun telah meng-isytiharkan taubatnya, Kashgari telah dihantar balik ke Arab Saudi dan ditahan polis bagi menghadapi perbicaraan. – Reuters.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan