Sasaran Menyediakan 20,000 Pekerjaan Akan Dicapai

126

KUALA TERENGGANU – Manifesto Kerajaan PAS Terengganu untuk menyediakan 20,000 pekerjaan akan dapat dicapai dalam masa terdekat apabila para pelabur terus berminat untuk ‘menanam modal’ di negeri ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Kuala Terengganu, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, pelaburan kali kedua menerusi kilang pembuatan silika pada akhir tahun ini.

“Dengan ‘investment’ sehingga RM2.5 bilion dan akan menawarkan pekerjaan yang banyak di negeri ini, sebelum ini lawatan mereka tertangguh dan akan kembali semula untuk menentukan keputusan, insya-Allah akan membawa kepada keputusan yang baik.

“Begitu juga kita akan menerima kehadiran pelabur dari negara Korea Selatan yang berminat untuk membuka kilang kimia di Paka yang juga menawarkan nilai pelaburan 1 bilion,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri berkata demikian ketika berucap pada program Ceramah Khas Sidang DUN Terengganu, Selasa 21 September.

Dalam pada itu katanya, satu memorandum persefahaman dengan sebuah Syarikat Panasonic atau Pensonic akan ditandatangani dalam masa terdekat.

“Untuk peringkat pertama akan mengambil seramai 200 dan akan ditingkatkan kepada 800 orang pekerja, dalam masa terdekat kita akan hebahkan ke seluruh rakyat.

“Selain itu Kilang Besi Waja di Kemaman, akan membesarkan operasi, mereka akan menyumbangkan RM3 bilion nilai pelaburan dan boleh menawarkan kepada 1,000 pekerjaan, dilaksanakan segera pada tahun ini sehingga tahun 2023,” kata beliau.

Selain itu, menurut beliau, menerusi pembinaan hotel besar di Pulau Perhentian akan turun mewujudkan peluang pekerjaan.

“KIta mengharapkan melalui kilang dan projek-projek yang akan dilaksanakan ini menifesto menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat ini akan dapat dicapai,” jelasnya.