Sarawak Perlukan Pembangkang Untuk Semak dan Imbang

964

Oleh : Jofri Jaraiee

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem membayangkan bahawa Pilihan Raya umum Sarawak dijangka diadakan pada bulan Mac depan dengan menghapuskan semua tol. Beliau juga telah mendapatkan persetujuan daripada pimpinan Umno bahawa parti itu tidak akan melebarkan sayapnya ke Sarawak. Dengan itu beliau juga harap tiada calon parti pembangkang dari Semenanjung di Sarawak.

Katanya lagi, beliau sudah tunaikan janjinya dengan memansuhkan semua tol di Sarawak dan mahu melihat rakyat Sarawak pula menunaikan janji kepada kerajaan dalam masa tiga bulan lagi seperti kenyataan beliau dalam media massa.

PAS Sarawak ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tan Sri Adenan Satem kerana telah memansuhkan semua tol di Sarawak. Memang Sarawak tidak perlu tol pun sebab jalanraya dan lebuh raya di Sarawak memang tidak mengikut piawaian lebuhraya antarabangsa. Ada rakyat Sarawak mengatakan kalau jalanraya di Sarawak penuh dengan lobang sana sini dan bengkang bengkok sama seperti mereka yang tidak lurus dalam menjalankan amanah rakyat.

Setelah Adenan Satem mengambil alih kuasa dari Pehin Sri Taib Mahmud memang tidak dinafikan ada sedikit perubahan dari segi corak pentadbiran pemerintahan tapi masih lagi mengekalkan menteri kanan. Walaupun tol dihapuskan tapi masalah keperluan rakyat masih lagi memberi tekanan kepada kehidupan rakyat biasa.

Contohnya tariff elektrik Sarawak menurun tetapi GST masih dikenakan dan harganya lebih kurang sama saja. Begitu juga dengan tempat tinggal masih ramai rakyat Sarawak tidak memiliki rumah sendiri disebabkan kemiskinan dan tidak memilik hak milik tanah.

Isu tanah yang sentiasa menjadi isu rakyat kerana Sarawak yang mempunyai keluasan tanah sebesar Semenanjung Malaysia sepatutnya sudah mampu menyelesaikan masalah penduduk asal tanpa tanah dan tidak memilik hak keatas tanah pusaka moyang mereka. Mengapa sampai sekarang sukar bagi penduduk asal mendapatkan hak milik mereka sedangkan pemaju dengan mudah mendapat hak milik tanah dari penduduk asal.

Kerajaan Sarawak masih memberi keutamaan kepada pemaju untuk memiliki tanah rakyat dengan membina rumah yang tidak mampu dimiliki oleh rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana. Inilah beberapa isu rakyat yang perlu Adenan Satem ambil perhatian.

Semasa PAS memerintah Terengganu dulu, PAS memansuhkan tol dan memberi hak milik tanah kepada rakyat. Kita juga mengesa kerajaan Sarawak memansuhkan semua GST dan lain-lain cukai yang membebankan rakyat.

Kerajaan juga perlu membina jambatan dekat pangkalan Feri untuk memendekan perjalanan penduduk kampung yang terpaksa berbaris panjang untuk menyeberangi sungai. Kembalikan semula biasiswa untuk rakyat Sarawak yang memerlukan bantuan pelajaran sama ada di dalam dan luar negara.

Kita mengesa Tan Sri Adenan Satem dan kerajaan Sarawak perlu mengambil perhatian dengan masalah rakyat sepenuhnya bukan hanya sekadar untuk menghadapi Pilihan Raya dengan melakukan sesuatu yang memberi manfaat untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama.

Sarawak masih memerlukan pembangkang yang boleh memberi pandangan membina dan sebagai semak dan imbang agar tidak berlaku penyalahguna kuasa dan sentiasa mengambil perhatian terhadap rakyat yang memerlukan bantuan.

PAS sebagai sebuah parti Islam amat diperlukan di Sarawak sebagai pengimbang antara keperluan di dunia dan di akhirat. PAS bukan saja sebagai parti politik tapi juga sebagai parti dakwah dan tarbiyah (Pendidikan dan Asuhan).

Tiada isu parti PAS hanya untuk Semenanjung yang sering dijadikan hujah untuk menyingkir parti dari Semenanjung ke Sarawak. Jangan terlalu bersikap perkauman dan kenegerian sehingga sukar untuk menerima teguran dan cadangan dari pihak pembangkang walaupun berlainan ideologi politik sepatutnya Ketua Menteri Sarawak bersikap terbuka untuk mendengar teguran dan nasihat dari pihak pembangkang.

Dalam isu moral dan kurang pendidikan agama Islam di Sarawak maka PAS dapat membantu menyebarkan syiar Islam di kalangan penduduk Muslim di Sarawak.

Kita semua mahu hak rakyat Sarawak diberi keutamaan sebab itulah Sarawak perlu pembangkang yang sentiasa menyuarakan masalah rakyat disamping sebagai pengimbang dan semak untuk kerajaan Sarawak.

Adenan Satem jangan takut dengan pembangkang kalau mahu melihat Sarawak mencapai kemajuan dan setanding dengan negara lain dalam menghadapi zaman yang penuh dengan cabaran ini.

Tanpa pembangkang, suara rakyat kurang mendapat perhatian. Adenan Satem perlu berani bersuara dan mempertahankan hak rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

***Haji Jofri Jaraiee ialah Pesuruhjaya PAS Sarawak