KUALA KANGSAR – PAS menyifatkan kenyataan yang menuduh kemenangan parti itu pada kedua-dua pilihan raya kecil akan membantu BN menghampiri majoriti 2/3 di parlimen adalah tidak benar sama sekali.
Bahkan Timbalan Presiden PAS Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia ‘kontradik’ (bertentangan) dengan realiti politik Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, kenyataan itu sebenarnya adalah cubaan untuk menakut-nakutkan pengundi menjelang hari pembuangan undi pada Ahad ini.
“Saya tengok ini sengaja untuk menakut-nakutkan pengundi sahaja.
“Dan saya fikir kalau realitinya, kalau betul apa yang digambarkan, mestilah jentera Umno akan membantu PAS, untuk menunjukkan itu, atau apatah lagi MCA, GERAKAN.
“Tetapi mereka lawan PAS, mereka menentang PAS dan kita tengok bagaimana MCA, MIC dan parti GERAKAN, memang terus terang melancarkan serangan kepada PAS kerana RUU itu,”jelasnya.
Tegasnya, jika benar PAS membantu BN untuk menghampiri 2/3, maka seluruh komponen BN pasti akan menyokong pindaan RUU yang akan dibawa pada sidang parlimen akan datang.


Sebaliknya kata beliau, MCA, GERAKAN dan MIC serta komponen-komponen BN yang lain, konsisten dalam menentang usul bagi pindaan RUU semenjak dari mula lagi.
Menurut Tuan Ibrahim lagi, serangan isu yang berterusan berkenaan PAS akan bergabung dengan BN sebenarnya adalah isu yang ditimbulkan sejak dahulu, oleh pihak yang ingin memecahkan PAS.
Katannya, ia hanyalah bagi menutup kekalahan mereka di dalam muktamar yang lalu kerana telah berulang kali PAS menegaskan tidak akan bergabung sebaliknya istiqamah melawan BN.
Sejak mula ditubuhkan lagi, PAS telah menentang BN dan tiada gunanya mereka cuba memutarbelitkan fakta dengan pembohongan.
Dengan itu beliau berkata, PAS tidak akan meninggalkan prinsip Islam hanya kerana mahu ke Putrajaya. “Menang ni memang semua orang nak menang, tetapi ke mana nak bawa kemenangan ini?
“Negara mesti ‘clear’, jelas, dasar apa yang kita nak bawa, jadi PAS, kita sebut bahawa kita nak kembali kepada Islam, sebab sifat Islam itu sendiri, Islam itu sebagai rahmat, Islam itu sebagai payung, bagi menaungi masyarakat muslim atau non muslim,”jelas beliau.
Oleh itu tambah beliau lagi, ahli PAS perlu yakin dengan perjuangan ini, dan jika ditakdirkan PAS menang, PAS tidak akan bergabung dengan BN.




























