KUALA TERENGGANU – Isu maruah negara dan pendirian Malaysia terhadap perjuangan Palestin menjadi perhatian apabila Perdana Menteri (PMX) Datuk Seri Anuar Ibrahim dikritik hebat selepas didakwa meraikan bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dengan sambutan berlebihan.
Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli menyifatkan tindakan tersebut sebagai melampaui batas diplomatik dan satu penghinaan terhadap prinsip kemanusiaan yang selama ini menjadi pegangan negara.
Katanya, Trump bukan tokoh biasa, tetapi individu yang terkenal dengan sokongan kuat terhadap kekejaman Zionis, penindasan umat Islam dan dasar luar Amerika yang mengakibatkan ribuan rakyat Palestin kehilangan nyawa.
“Apakah PMX sudah lupa siapa Trump? Inilah individu menyokong penuh kekejaman Zionis, menindas umat Islam, dan menyebabkan ribuan nyawa rakyat Palestin terkorban akibat dasar luar yang zalim dan tidak berperikemanusiaan.
“Bagaimana mungkin seorang Perdana Menteri negara Islam seperti Malaysia boleh menyambutnya seolah olah wira dunia?,” soalnya dalam kenyataan media semalam.
Menurutnya, isu ini bukan soal pertemuan diplomatik semata-mata, tetapi melibatkan maruah negara dan keutuhan prinsip Malaysia sebagai negara Islam yang membela Palestin.


“PMX bukan sahaja gagal menjaga adab ketimuran, bahkan telah menggadaikan prinsip solidariti terhadap Palestin yang selama ini menjadi dasar moral dan kemanusiaan negara.
“Tindakan itu tidak lain hanyalah perbuatan terdesak seorang pemimpin yang mahu mencari perhatian antarabangsa dengan mengorbankan maruah sendiri,” jelasnya dan menegaskan, Trump tidak layak disambut dengan karpet merah.
“Apatah lagi dengan tarian dan senyuman manis. Ia memalukan dan menjijikkan memperlihatkan betapa PMX kini hanyut dibuai mimpi janji manis politik global,” tegasnya.
Justeru itu, beliau turut menyeru supaya kerajaan lebih berhati-hati dalam menjalinkan hubungan antarabangsa agar tidak menjejaskan pendirian moral dan prinsip kemanusiaan Malaysia.
“Kita tidak menolak keperluan menjalin hubungan diplomatik, namun biarlah dengan maruah dan keseimbangan politik antarabangsa yang berhemah.
“PMX seolah olah lupa adab, hilang arah, dan terlalu teruja hingga menggadai imej negara serta maruah umat.
“Malaysia tidak perlukan pemimpin yang tunduk dan teruja kepada perosak dunia. Malaysia sepatutnya berdiri di atas prinsip bukan tunduk pada pesona palsu tokoh yang sedang menzalimi dunia global,” tambah beliau.




























