Runtuhan Stadium ; Ahmad Sepatutnya Tunjuk Wibawa, Bukan Kecewa!

505


Yang pertama, beliau merombak anggota Majlis Mesyuarat Negeri secara mengejut, dan yang kedua, beliau melahirkan ‘rasa kecewa’ berikutan runtuhan Stadium yang tidak dibersihkan, setelah ia runtuh pada Jun tahun lalu.

Penolong Setiausaha PAS Terengganu Haji Hanafiah Mat berkata beliau tidak mahu memberikan komen hal rombakan Exco kerana ia telah pun diberi pandangan oleh pimpinan PAS yang lain.

Menurut Haji Hanafiah, sepatutnya dalam soal runtuhan stadium, Ahmad tidak perlu kecewa, tetapi sebagai Menteri Besar ‘yang mempunyai kuasa’, Ahmad sepatutnya menunjukkan wibawa.


“Dato’ Ahmad Said orang Kemaman, saya pun orang Kemaman, sepatutnya beliau menunjukkan kewibawaannya sebagai Menteri Besar orang Kemaman, mengarahkan jentera kerajaan dibawahnya,

“tapi, sebaliknya, Ahmad mengadu kepada pihak media, bahawa beliau rasa kecewa,”jelas Hanafiah ketika dihubungi Buletinonline semalam.

Namun begitu, menurut Hanafiah, jangan diambil ringan sikap dan ‘pe’el perangai’ Ahmad Said itu, kerana menurutnya Ahmad orang mengaji ‘Sains Politik’.

Beliau melihat, sebenarnya Ahmad sedang meminta simpati seluruh rakyat.

“Semua orang tahu macamana Ahmad berpolitik, sehingga ada sebuah blog yang mengatakan ‘tiada yang pelik dan mustahil pada zaman pemerintahan MB Mat Said ini…”,

“mungkin dengan ‘melahirkan rasa kecewa’ Ahmad cuba meraih simpati dari rakyat, yang kini dimerata-rata orang memperkatakan tentang kelemahan Umno dan kerjaan BN Terengganu,”ujar Hanafiah.

Namun, bagaimanapun, ujar Hanafiah, kekecewaan Ahmad menunjukkan kuasa sebenarnya menentukan projek-projek pembangunan di negeri Terengganu, adalah kelompok pemimpin Umno di Putrajaya.

Ahmad Said melahirkan rasa kecewanya berkaitan kerja-kerja pembersihan runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, ketika ditanya wartawan mengenai kerja-kerja yang masih terbengkalai sehingga kini.

Beliau berkata masih belum ada sebarang maklumat berhubung kerja-kerja pembersihan runtuhan itu daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

Stadium berharga RM292 juta itu runtuh pada 1 Jun 2009, tidak sampai setahun selepas ia siap dibina pada 2008.