Rumah Bantuan Akan Dijadikan Markas Pengajian Al-Quran

1275

KEMAMAN – Seorang penerima bantuan rumah yang dibina baru kerana hanyut akibat banjir di sini awal tahun lalu, berikrar akan meneruskan khidmat mengajar pengajian al-Quran bagi penduduk setempat.

Jasni Ahmad daripada Kampung Teladas, seorang imam surau dan guru mengaji al-Quran menyatakan rasa syukur dan terima kasihnya atas sumbangan dari semua pihak sehingga beliau sekeluarga mampu memulakan kehidupan baru dengan lebih baik.

Katanya, beliau akan memanjangkan ‘jariah’ orang ramai dengan menjadikan rumah baru tersebut sebagai markas pengajian al-Quran.

“Rumah ini bukan hanya sebagai tempat berteduh kami sekeluarga, tetapi juga akan menjadi markas mengaji al Quran untuk masyarakat sekitar.

“Apa yang saya dapat dari masyarakat, akan saya pulangkan balik kepada masyarakat dalam bentuk khidmat kepada mereka,”ujarnya.
Jasni berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah tersebut di Kampung Teladas pada jumaat 16 Mei.

IMG-20140517-WA0021Selain Jasni [gambar kanan – berjubah hitam] turut menerima rumah baru yang dibina dengan pembiayaan wang zakat Maybank Islamic Berhad dan sumbangan orang ramai adalah Johari Jusoh daripada Kampung Seberang Tayur dan Asri Yahya daripada Kampung Air Putih.

Hadir dan turut menyampaikan ucapan adalah Pengerusi lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu Dr Aman Ibrahim, Pegawai Maybank Islamic Berhad Nor Azlan Jusoh dan Pengerusi Yayasan Anal Terengganu Dr Suhazeli Abdullah.

Dr Azman merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat menyumbangkan tenaga, barangan dan wang ringgit sehingga kecerian mampu dihadirkan semula di wajah mangsa-mangsa banjir.

“Musibah mungkin berlaku tanpa mengira siapa mangsanya dan di mana kita. Sebagai sesama hamba Allah, sedikit lebihan yang ada perlu kita kongsikan untuk saudara kita yang memerlukan.

“Kehilangan rumah tempat berlindung adalah suatu yang amat berat untuk dihadapi tapi Alhamdulillah, dengan semangat bersama membantu samada dari badan korporat, NGO serta organisasi parti dan ahli masyarakat, suatu yang berat telah bersama kita ringankan.” Ujar Dr Azman.

Nor Azlan Jusoh mewakili warga kerja Maybank Islamic pula memaklumkan, institusi banknya bukanlah organisasi perniagaan yang mengumpulkan keuntungann semata-mata.

“Kami di Maybank bukan hanya sekadar berniaga mengumpulkan keuntungan, dalam masa yang sama di bawah tanggungjawab sosial korporat,

“kami turut menghulurkan sumbangan kepada masyarakat dalam rangka untuk kami sentiasa berada dekat dengan masyarakat,”ujar Nor Azlan.

Sementara itu, Dr Suhazeli Abdullah berkata, sebanyak hampir RM170 ribu ringgit telah diperuntukan dengan RM100 ribu adalah dari sumbangan pihak Maybank Islamic sementara bakinya adalah atas keprihatinan masyarakat untuk bersama membantu.

Katanya, bantuan pembinaan semula rumah mangsa banjir tersebut dinilai daripada tahap kemusnahan rumah yang berlaku semasa banjir besar tahun lepas.

“di mana rumah-rumah mereka ini telah musnah keseluruhannya dibawa arus deras air banjir, dinilai untuk pembinaan semula dan AlhamduliLlah,

“dari RM170,000 dana yang dikumpulkan, sebanyak RM100,000 adalah pembiayaan dari Maybank dan bakinya hasil sumbangan orang ramai,”jelasnya