Ruh dan Fitrah Ramadhan 1435H Terkesan Kepada Selebriti

1175

Dewan Muslimat PAS Malaysia mengucapkan tahniah kepada Felixia Yeap, kepada pelakon dan pengacara Fara Fauzana dan Neelofa, dua orang pengacara Nona TV3 yang turut mengenakan hijab baru-baru ini.

Ketua Penerangannya Mastura Mohd berkata ruh dan fitrah Ramadhan kali ini cukup memberi kesan kepada ramai selebriti di Malaysia untuk kembali kepada fitrah insan bertuhankan Allah SWT

“Tabarakallah Felixia Yap, Neelofa dan Fara Fauzana, mahasuci Allah yang memberi hidayah pada siapa yang Dia kehendaki sebagaimana firmanNya dalam surah Az- Zumar ayat 23.

“Dewan Muslimat PAS Malaysia mengucapkan syukur dan tahniah kepada saudari seIslam kami, Felixia Yap (bekas model) dengan izin Allah SWT mengucap dua kalimah syahadah secara rasmi pada 5 Ramadhan 1435H bersamaan 3 Julai 2014 setelah 7 bulan mengenakan hijab dan mendalami islam,”ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Mastura memetik kenyataan Felixia melalui blognya, yang mendakwa beliau mula mengenali ajaran-ajaran Islam, redha, lebih tenang dan lebih senang bersyukur dengan hidup yang sederhana, serta menyifatkan duit dan kemewahan tidak lagi menarik perhatiannya sepertimana kehidupannya dahulu.

“inilah kecantikan dan ketenangan islam dan apa yang pasti benarlah firman Allah SWT,

“Dia lah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin untuk menambah keimanan atas keimanan mereka(yang telah ada). Dan milik Allahlah bala tentera langit dan bumi, dan Allah Maha Mengetahui, Maha Bijaksana,”kata Mastura menukilkan ayat Allah dari Surah Al Fath.

Oleh itu, Muslimat PAS mengajak seluruh umat agar bersama-sama menghayati bulsn Ramadhan, yang penuh rahmat untuk semua.

“(marilah) bersama-sama kita menjadikan Ramadhan sebagai platform mendidik diri untuk kembali kepada fitrah dan hari keluar daripada fitnah (ujian dunia dan manusia) untuk terus terikat dengan syariat.

“Mudahan keluarnya kita dari Madrasah Ramadhan ini dengan penuh rahmat, keampunan dan bebas dari api neraka,”jelasnya