Oleh : ZSH
DUNGUN – Persediaan para peniaga memulakan jualan untuk juadah berbuka puasa bertukar cemas, apabila ribut melanda Bandar Bukit Besi.
Kejadian yang tidak diduga itu berlaku sekitar jam 4.30 petang Sabtu, dekat sini, semalam 3 Jun.
Pemilik premis Kedai Keropok D’Lekor, Mohd Izzuddin menceritakan detik cemas beliau bersama dua orang pekerjanya yang ketika itu, berada di dalam kedai terbabit.
Beliau berkata, angin telah memusnahkan sebahagian struktur kedainya.
“angin kuat! angin kuat! (dengan) sekelip mata anjung kedai dan kanopi besi di hadapan kedai saya telah diterbangkan ke atas atap,” ujar Mohd Izzuddin.
Namun begitu, bencana yang menimpa beliau telah mendapat perhatian Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli.
Selepas solat sunat tarawih, Ustaz Wan Hassan singgah menziarahi beliau di premis berkenaan.
Ribut melanda sebahagian besar bandar juga telah merosakkan atap sebuah rumah kediaman, manakala dua premis perniagaan lain, rosak teruk.
Ustaz Wan Hassan mengucapkan rasa syukur kerana dalam kejadian itu tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan berlaku.
“Alhamdulillah, syukur terhadap Allah kerana kejadian ribut tidak mendatangkan kecederaan kepada mereka yang terbabit,
“Terima kasih kepada Jawatankuasa PAS UPU Bukit Besi yang turut sama membantu mangsa. Kita daripada PAS akan cuba membantu semampu kita, insyaallah,” jelas beliau.
Turut sama hadir dalam ziarah tersebut ialah Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Bukit Besi, Haji Ghazali Sulaiman dan Ketua UPU Bukit Besi, Abas Abdul Ghani.