KUALA TERENGGANU – Pengurusan kewangan kerajaan yang melibatkan unsur riba telah menghilangkan keberkatan ekonomi.
Ahli Parlimen Kuala Nerus YB Dato’ Dr. Ustaz Khairuddin Aman Razali berkata, skandal kewangan yang berlaku di Malaysia seperti 1MDB, FOREX, PERWAJA, BMF dan seumpama dengannya adalah manifestasi kegagalan dasar pengurusan perniagaan dan ekonomi yang tidak berprinsipkan Islam.
“Amalan rasuah adalah buah (kesan) dari jiwa pemimpin yang kemaruk kemewahan dunia dan pelaksanaan GST merupakan dasar yang salah sehingga menyebabkan berlakunya inflasi dan kerosakan ekonomi negara,
“Dan PAS telah menegaskankan prinsipnya iaitu ‘menyokong dasar yang baik dan menentang dasar yang silap’. Itu prinsip PAS,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam, Isnin, 28 Ogos.
Menurutnya, PAS sedang bergerak bersama Gagasan Sejahtera membina imej negarawan dalam menghadapi pilihanraya umum (PRU) ke 14 sedang Pakatan Harapan (PH) berantakan bergaduh sesama sendiri.
“Umno dan Barisan Nasional juga sedang bergelut berusaha memulihkan imej dan pertembungan dalaman mereka,
“PAS akan kekal berpolitik berasaskan prinsip Islam dan mengemukakan penyelesaian Islam bagi masalah negara dengan membawa moto “Sejahtera Bersama Islam”,” tegas Ustaz Khairuddin.





























