– PENGUNDI PRU 14 PERLU UBAH KERAJAAN
Berikut ialah beberapa realiti masyarakat yang seharusnya diperhatikan oleh setiap aktivis NGO yang mahu menjelaskan kepada pengundi dalam PRU 14 kenapa perlu kerajaan BN perlu diganti.
1. Penagihan Dadah.
April 2016 : Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Azizan Ariffin berkata penagih dadah dalam kumpulan umur 19 hingga 39 tahun direkodkan seramai 15,128 tahun lepas berbanding 14,324 pada 2014.
2. Penagihan Arak.
Malaysia menduduki tangga kesepuluh terbesar dalam pengambilan arak di dunia. Walau pun kita hanya mempunyai 26 juta rakyat tetapi kedudukan kita sepuluh tertinggi di dunia. Rakyat Malaysia dikatakan membelanjakan USD 500 juta iaitu lebih kurang RM1.75 bilion untuk minuman keras. Penjualan bir berkembang di antara 5% hingga 7% setahun. Ia melebihi kadar pertumbuhan penduduk pada kadar 2.4% dan umur purata ketagihan arak ialah 22 tahun. Semakin ramai remaja mula mengambil minuman beralkohol dan 45% dari belia Malaysia di bawah umur 18 tahun mengambil alkohol secara regular.Trend di Asia semakin meningkat pengambilan alkohol. Akan tetapi di negara-negara Eropah trend pengambilan sudah mulai menurun oleh sebab kempen agresif mereka untuk membendung masalah atau gejala alkohol.
3. Zina dan anak luar nikah
Kajian yang telah didedahkan oleh Dr. Fatimah Abdullah dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia merekodkan maklumat dan angka yang diberikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mencatatkan sejak tahun 2000 hingga julai 2008 bahawa terdapat 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa tercatat nama bapa. (Anak luar nikah atau anak tidak sah taraf). Secara purata , 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari atau berlaku setiap 17 minit 17 saat. Angka ini amat menggerunkan kita. Persoalannya sekarang bagaimana pula untuk 10 tahun akan datang.
Perlu difahami bahawa kajian itu tidak mengambil kira jumlah bayi yang dibuang, disembunyikan, digugurkan, dijual, atau mati dibuang yang tidak dapat dikesan.
Jika kita unjurkan lagi angka tersebut maka akan lebih menggerunkan lagi dan tidak syak lagi generasi kita akan datang adalah dari kalangan anak luar nikah sedangkan Islam amat menjaga nasab dan keturunan dengan melaksanakan hukuman zina. Kalau jumlah anak luar nikah yang didaftarkan (bagi bayi Islam atau bukan Islam) dalam tempoh 10 tahun adalah lebih suku juta. Maka kebarangkalian anak yang tidak didaftarkan adalah juga suku juta. Bagaimana pula anak yang dibuang samada yang dijumpai mayatnya atau tidak dijumpai kerana ditanam, atau di buang lalu dimakan anjing atau ular atau ikan atau di buang dalam lubang tandas. Katakan jumlahnya juga suku juta. Termasuk yang masih dalam kandungan lalu digugurkan, saya rasa jumlahnya lagi besar dan katalah ianya suku juta. Maka jumlah hasil perzinaan dalam tempoh 10 tahun adalah 1,000,000 orang.
Jika hasil anak luar nikah adalah sejuta orang maka pelaku zina pula adalah dua kali ganda kerana pelakunya adalah lelaki dan perempuan, maka jumlahnya adalah 2,000,000 orang. Golongan pelacur samada tempatan atau luar negara di negara kita dijangkakan hampir sejuta orang. Golongan homoseks, lesbian, pengkid, lelaki dan perempuan simpanan juga golongan maknyah dan pondan. Tidak dikira pula mereka yang berzina tetapi memakai kondom atau mengeluarkan mani di luar perlu diambil kira. Maka dijangkakan bahawa penzina bserta hasilnya dalam tempoh 10 tahun boleh mencecah seramai 5 juta orang, sama dengan penduduk Negeri Selangor.
Menurut Laporan kajian oleh Durex & Durex , mendapati Malaysia dikategorikan sebagai negara yang mengamalkan seks luar nikah dikalangan remaja Malaysia dengan purata 62 kali setahun (kajian 2003) dan 86 kali setahun (kajian 2004) berbanding Jepun yang hanya 37 kali setahun (2001).
Turut direkodkan , remaja perempuan di Malaysia didapati kehilangan dara pada usia muda iaitu 20 tahun (kajian 2001) dan ketika berumur 19 tahun ( kajian 2004).
Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mencatatkan 81,000 anak luar nikah didaftarkan sehingga 2011. Manakala kajian penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) pula mendapati 300 remaja Melayu berusia 13 hingga 25 tahun terbabit dengan salah laku seksual dan seks bebas.
Dinyatakan, 85 peratus daripada mereka yang melakukan perbuatan itu langsung tidak menyesal, malu atau takut malah menyifatkan pengalaman berkenaan sebagai menyeronokkan.
Statistik Polis Diraja Malaysia pula mencatatkan kes pembuangan bayi yang dilaporkan antara 2000 sehingga 2006 ialah 580 orang, majoriti sebanyak 92 peratus adalah bayi baru dilahirkan, manakala lapan peratus adalah janin. Di Lembah Klang saja hasil laporan Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007 mendedahkan seorang bayi dibuang setiap 10 hari.
4. Aktiviti seksual
Kadar aktiviti seksual dalam kalangan remaja berusia 13 hingga 17 tahun di negara ini sepanjang dua dekad lalu meningkat daripada 0.9 pada 1994 kepada 8.3 peratus pada 2012. Statistik itu diperoleh daripada kaji selidik Global Kesihatan Pelajar Sekolah (GSHS) serta Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) berkaitan kelakuan sumbang dilakukan remaja sebelum nikah bermula 1994 hingga 2012.
Sementara itu, data direkod daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bermula 2005 hingga 2011 juga menunjukkan Malaysia menduduki tempat keempat daripada 10 negara berkaitan kehamilan remaja berusia antara 15 hingga 19 tahun.
5. Kes penceraian.
Mengikut statistik, dalam tempoh enam tahun lalu, sebanyak lebih 274,000 pasangan Islam di Malaysia bercerai sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai institusi keluarga Islam di negara ini.
Melihat pada rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut mendedahkan sebanyak 38,035 pasangan bercerai sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun lalu.
Berdasarkan statistik itu, secara purata sebanyak 156 kes perceraian berlaku setiap hari atau enam kes bagi setiap jam.
Selain itu, statistik perceraian pasangan Islam dalam tempoh lima tahun lalu juga menunjukkan peningkatan begitu ketara iaitu daripada 43,749 kes pada 2011 kepada 53,870 kes pada 2014, naik sebanyak 10,121 kes.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kebanyakan kes perceraian yang direkodkan itu melibatkan usia perkahwinan lima tahun ke bawah.
“Kajian menunjukkan tempoh perkahwinan yang berakhir dengan perceraian adalah dalam tempoh lima tahun ke bawah iaitu 37.2 peratus bagi wanita dan 35.4 peratus bagi lelaki.
“Keadaan ini secara tidak langsung memberi petunjuk bahawa tempoh lima tahun merupakan jangka masa yang sangat penting kepada pasangan dalam mengharungi bahtera perkahwinan,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
6. Merokok
Mengikut statistik di Malaysia, seramai 40 hingga 50 perokok baru dicatatkan setiap hari. Dianggarkan, terdapat 4.7 juta orang merokok pada 2011 dan jumlah itu meningkat daripada 3.1 juta orang pada 2007.
Sementara itu, kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2010 turut merekodkan tabiat merokok menyebabkan kematian kira-kira 18,000 orang setahun. Lebih 23.7 bilion rokok dihisap dalam tempoh setahun dan jumlah ini meningkat dalam kadar tinggi daripada 18 bilion batang pada 1998.
Bukan itu saja, sebilangan besar perokok juga dikesan mula berjinak dengan tabiat ini sejak remaja. Purata umur mula merokok ialah 19 tahun. Pada 1985, 9.8 peratus remaja didapati merokok dan kadar itu meningkat kepada 18 peratus pada 2000.
Hasil kajian mendapati matlamat iklan rokok hampir semuanya ditujukan kepada remaja untuk dapatkan pelapis perokok baru. Setiap remaja yang mula merokok berkemungkinan akan merokok purata selama 30 tahun akan datang.
Mengikut statistik yang diperoleh di The Tobacco Atlas, 36.3 peratus remaja lelaki dan 4.2 peratus remaja perempuan Malaysia yang berusia antara 13 hingga 15 tahun merokok.
7. Masalah moral.
Kadar peningkatan krisis akhlak dan moral golongan remaja di negara ini semakin menggerunkan apabila statistik menunjukkan jumlah kes jenayah membabitkan pesalah juvana meningkat sebanyak 111 peratus dalam tempoh setahun.
Berdasarkan statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 7,816 kes dicatatkan pada 2013 berbanding hanya 3,700 kes pada 2012 iaitu membabitkan peningkatan sebanyak 4,116 kes.
Malah, angka kegiatan jenayah berat golongan remaja yang tamat persekolahan pula mencatatkan peningkatan ketara sehingga 137 peratus kepada 2,011 kes berbanding hanya 849 kes dicatatkan pada 2012.
Kategori jenayah berat ini turut dikaitkan dengan remaja bawah umur berusia antara 12 hingga 17 tahun. Angka direkodkan turut meningkat kira-kira 47 peratus di seluruh negara dan ada daripada mereka terlibat dengan kes bunuh dan juga rogol.
8. Lari dari rumah
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan statistik pada 2010 yang menunjukkan kes remaja lari dari rumah meningkat sebanyak 4,097 remaja terbabit dengan kegiatan ini seawal usia 13 hingga 17 tahun. Difahamkan, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana kebanyakan kes ini membabitkan remaja.
Selain itu, remaja berumur 14 hingga 17 tahun adalah golongan yang paling banyak dilaporkan hilang di negara ini. Remaja perempuan kaum Melayu pula mencatatkan statistik tertinggi hilang berbanding kaum lain, tetapi kelompok itu juga tersenarai dalam kadar tertinggi mangsa yang mudah dijumpai semula.
Berdasarkan statistik Jabatan Pengurusan, Cawangan Hal Ehwal Awam Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, secara kiraan rawak, dua daripada tiga laporan kes orang hilang membabitkan wanita.
9. Judi
Malaysia mempunyai 9 syarikat judi berlesen. Kutipan peruta tahunan keseluruhan syarikat judi ialah antara Rm 2 bilion hingga Rm 4 bilion.
Akan tetapi judi tidak berlesen ( judi haram ) sangat lumayan di negara ini.
Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata sebanyak 109,000 serbuan dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras kegiatan perjudian haram setakat bulan ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata daripada jumlah itu, 5,834 serbuan berjaya dilaksanakan dengan jumlah tangkapan sebanyak 15,154 orang membabitkan penganjur dan kaki judi. “Daripada serbuan itu juga, pihak polis telah merampas sebanyak 70,149 buah mesin dan alat-alat perjudian dengan kos kasar berjumlah RM70.1 juta beranggaran RM1,000 setiap mesin dan peralatan tersebut,” katanya.
Katanya, walaupun polis telah menjalankan operasi khas melalui Skuad Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gengsterism (STAGG), masih ada lagi aktiviti perjudian haram yang masih belum dibanteras sepenuhnya. “Hal ini kerana modus operandi yang digunakan oleh pengusaha perjudian ini berubah-ubah dan mereka didapati sering beroperasi di sebalik premis berlesen, rumah kediaman serta kondominium yang tidak dapat dikesan oleh pihak polis,” katanya.
Katanya, sehubungan itu, bagi membanteras kegiatan perjudian haram secara berkesan, PDRM mencadangkan undang-undang tertentu diperkasakan seperti Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Loteri 1952 dan Akta Pertaruhan 1953. “Selain itu, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga perlu diubah suai supaya ia mengambil kira perjudian secara online serta kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan melalui pindaan Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 1998,” katanya.
Nur Jazlan berkata, pihaknya membentangkan nota maklumat perjudian haram pada Oktober tahun lepas dan Mac tahun ini ketika mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi menggariskan cadangan kaedah pelaksanaan aktiviti perjudian tanpa lesen.
10. Pelacuran.
Malaysia tersenarai di tangga kelapan antara sepuluh negara di dunia yang mempunyai bilangan pekerja seks teramai untuk setiap 10,000 penduduk.
Menurut laporan yang dikeluarkan pada 2013 di portal Liveandinvestoverseas.com mendapati setiap tahun dianggarkan tiga juta orang mengembara menggunakan khidmat pelancongan untuk tujuan seks dan angka ini dijangka semakin meningkat.
Malaysia mempunyai kadar pelacuran lebih tinggi dari Thailand iaitu 52 pekerja seks setiap 10,000 berbanding 45 pekerja seks setiap 10,000 di Thailand. Malaysia telah diletakkan Amerika Syarikat di dalam senarai hitam dalam kalangan negara yang mempunyai kes paling teruk isu permerdagangan manusia dan penyalahgunaan hak asasi manusia termasuk pelacuran kanak-kanak.
MOHD AZMI ABDUL HAMID
President






























