Jabatan Amal Terengganu memohon sumbangan rayuan orang ramai bagi membantu sebuah keluarga yang kebakaran rumah di Kampung Kubang Jela, Manir pada 22 Mei lalu.
Keluarga malang tersebut merupakan seorang anggota sukarelawan amal bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Teluk Pasu, Ahli Jawatankuasa Pemuda Dun Teluk Pasu serta Setiausaha PAS cawangan Kubang Jela.
Mangsa terbabit, Mohamad Subri Awang, 42, berkata tragedi kebakaran rumahnya berlaku pada jam 1.40 petang yang mengakibatkan kemusnahan 100 peratus serta kehilangan tempat tinggal.
Menurutnya, rumah kediaman yang diduduki sejak 19 tahun lalu bersama isteri dan tiga orang anak berusia enam hingga 17 tahun itu gagal diselamatkan.


“Saya terima ini (kebakaran) dengan redha mungkin ketentuan Allah SWT. Ini (kemusnahan) bukan sahaja kehilangan dokumen penting yang tidak sempat diselamatkan termasuk harta benda lain.
“Selain dari peralatan rumah, yang musnah termasuk lima buah mesin jahit milik isteri saya, 100 pasang kain baju yang ditempah orang dan lain-lain lagi,” jelasnya kepada Harakah.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Ketua Kebajikan Amal Terengganu, Mohd Nordin Ali bersama beberapa anggota Amal Terengganu di lokasi kebakaran rumahnya, di Kampung Kubang Jela, 25 Mei lalu.
Mohamad Subri yang bekerja sebagai mekanik motosikal menjelaskan ketika kejadian berlaku anak dan isteri tidak ada di rumah termasuk beliau berada di tempat kerjanya.
Isterinya, Puan Siti Nor Zaid, 39, turut sedih dan terkilan kerana kebakaran tersebut bukan sahaja memusnahkan harta bendanya termasuk juga milik orang lain.
“Saya buat kerja sampingan menjahit pakaian dan ada 100 pasang kain baju yang ditempah untuk hari raya dan sebagainya…dan ada yang telah siap tapi belum diambil oleh pelanggan.
“Namun, saya bersyukur kerana tidak berlaku kemalangan jiwa sebab ketika kejadian kebakaran tidak ada sesiapa di rumah kami, Alhamdulillah,” ujarnya.
Mohd Nordin yang juga Timbalan Pengarah Jabatan Amal Terengganu berkata Amal Terengganu akan mengambil tanggungjawab membersih serta membina kembali rumah anggotanya yang ditimpa musibah itu.
“Kita (amal) akan ambil tanggungjawab ini untuk bantu meringankan beban ahli dalam kerja membersih dan membina semula rumah beliau (Subri) yang musnah 100 peratus dalam kebakaran.
“Apa yang penting, kami (amal) perlukan sumbangan orang ramai untuk sama-sama membantu mangsa ini, Insya’Allah,” ujarnya.
Justeru, beliau merayu kepada semua pihak yang berkemampuan, para dermawan serta orang ramai menyumbang kepada mangsa kebakaran rumah tersebut.
Menurutnya, sumbangan ikhlas boleh disalurkan terus melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) atas nama Tetuan Jabatan Amal Terengganu bernombor 13017018282075 atau melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) kepada Siti Nor Zaid dengan nombor akaunnya, 1110329859566232.
Pada hari kejadian, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Pasu, Ustaz Ridzuan Hashim turut melawat mangsa kebakaran rumah tersebut.


























