Rantaian Manusia 760km Sokong Dr Mohamed Mursi Presiden Mesir

1237

Dari Kaherah ke Aswan, anggota Persaudaraan Islam dan cabangnya, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), memegang poster-poster Dr Mursi – pilihan kumpulan itu menggantikan calon awalnya, Encik Khairat Shater, yang didapati tidak layak menyusuli satu dakwaan di mahkamah tentera.

Barisan demi barisan aktivis dan penyokong kumpulan itu – ada memakai kemeja-T dan topi yang dihiasi gambar wajah Dr Mursi – mempamerkan poster-poster kempen yang turut menunjukkan wajah berjanggut bekas jurutera itu dengan tulisan: ‘Mursi sebagai presiden Mesir’.

Acara itu, yang dianjurkan oleh pihak pengendali kempen presiden Dr Mursi, menonjolkan rangkaian penyokong Persaudaraan Islam yang kukuh di negara itu.

Dalam lamannya, kumpulan Persaudaraan Islam berkata ia memang bertujuan membentuk ‘rantaian manusia paling panjang di dunia’.

Dikenali sebagai sebuah entiti politik paling tersusun semasa pemerintahan mantan presiden Mesir, Encik Hosni Mubarak, kumpulan tersebut mempunyai jentera kempen yang boleh merangsang penyokongnya di seluruh negara itu bertindak dengan cepat.

Dr Mursi sedang berada di belakang dua lagi calon presiden – bekas ketua Liga Arab, Encik Amr Moussa, dan seorang lagi calon parti Islam, Encik Abdel Moneim Abol Fotouh.

Bagaimanapun, anggota beberapa kumpulan politik berkata Dr Mursi dijangka menunjukkan persaingan lebih hebat memandangkan keutuhan rangkaian Persaudaraan Islam sejak berdekad-dekad, yang menyokong kempennya.

FJP menguasai parlimen selepas memenangi sebahagian besar kerusinya pada pilihan raya parlimen pada November lalu.

‘Kami yakin Dr Mursi akan menang daripada pusingan pertama lagi,’ kata Encik Yasser Ali, salah seorang anggota penganjur kempen Dr Mursi itu.

Pada Mac lalu, Persaudaraan Islam mengubah keputusan awalnya tidak bertanding dalam pilihan raya presiden itu dengan meletakkan seorang calon.

Kumpulan itu berkata partinya kesempitan ruang di dalam parlimen untuk mempengaruhi dasar kerana kuasa masih terletak di tangan pihak tentera dan pemerintah yang dilantiknya. — Reuters.