Saya memandang serius terhadap keluhan rakyat Kemaman baru-baru ini yang terus menerus mengadu akan pencemaran alam sekitar hasil daripada perlombongan mineral bauksit yang kini memasuki daerah Kemaman. Tidak cukup dengan pencemaran teruk yang telah berlaku di Kuantan dan Gebeng, kini aktiviti perlombongan yang telah diharamkan di Indonesia ini terus dikembang biakkan mengganggu kelestarian alam sekitar.
2. Rakyat Kemaman amat kesal dengan kemasukan lori-lori yang membawa hasil perlombongan dari Kuantan masuk ke Kemaman. Ini secara langsung memberi kesan sampingan kepada kesihatan rakyat. Mutu pencemaran udara dan pencemaran air juga meningkat akibat daripada debu dan tanah merah sisa laluan lori bauksit yang mengalir ke saliran-saliran utama sumber air. Ini sekaligus menjejaskan seluruh ekosistem.


4. Aktiviti-aktiviti pengangkutan muatan tanah bauksit ini bukan sahaja memberi impak kepada alam sekitar. Malah gerombolan-gerombolan lori bermuatan tinggi yang beroperasi hampir 24 jam ini dilihat telah merosakkan jalan dan juga membahayakan pengguna-pengguna jalan raya.
5. Justeru, rakyat Kemaman mendesak YAB Menteri Besar Terengganu dengan segala kuasa yang ada, hentikan segera kegiatan ini!
6. Pihak-pihak berwajib seperti Pejabat Tanah, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), SPAD, JPJ, Polis Trafik dan Jabatan Alam Sekitar perlu segera mengambil tindakan tegas melalui bidang tugas masing-masing. Usaha-usaha seperti sekatan jalan perlu dipertingkatkan lagi bagi menyekat lori-lori bauksit dari terus masuk ke Kemaman khususnya selepas jam 12 tengah malam.
7. Sekali lagi saya tegaskan, pihak kerajaan negeri dan agensi kerajaan wajib bertindak segera bagi membanteras aktiviti ini dari terus merebak merosakkan alam sekitar.
Saya tetap teguh bersama rakyat Kemaman membantah aktiviti pencemaran ini. Usaha ini mungkin “kecil bagi kita tetapi besar kepada rakyat”.
***Kenyataan Media Demi YB Haji Hanafiah Mat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai






























