Pulihkan dulu kerajaan yang sedang ‘Khayal’

736

http://buletinonline.net/images/stories/berita34/wanazhar.JPGBESUT – Kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu perlu ‘dirawat’ terlebih dahulu sekiranya rakyat mahu melihat gejala sosial, maksiat dan penyalahgunaan dadah mampu dibendung.

Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Wan Azhar Wan Ahmad mengumpamakan kerajaan yang memerintah negeri Terengganu masakini, dalam keadaan ‘khayal tegar’.

Justeru segala usaha yang dilakukan kerajaan, bukan mengurangkan gejala negatif terbabit, tetapi peratusannya semakin meningkatan dan semakin membimbangkan.

“Kerajaan sendiri yang perlu dipulihkan terlebih dahulu sebelum memulihkan masyarakat kerana acuan yang bertanggungjawab membentuk masyarakat adalah kerajaan,” katanya ketika mengulas lanjut kenyataan beliau dalam media tempatan

Beliau berkata jumlah penagih baru dikesan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Terengganu dalam tempoh Januari hingga Julai 2010 menunjukkan peningkatan sebanyak 1,337.78 peratus iaitu 1,294 orang berbanding tahun sebelumnya hanya 90 orang.

Pertambahan jumlah penagih baru ini sekali gus meningkatkan jumlah penagih di negeri ini sepanjang tempoh berkenaan iaitu seramai 1,584 keseluruhan termasuk penagih berulang.

Wan Azhar berkata, kerajaan tidak seharusnya memberi pendekatan dengan mengikat rakyat berdasarkan kepada material kerana ia tidak sesekali mampu membantu mereka menzahirkan dengan sesuatu yang bernilai.

Menurutnya, ketirisan yang berlaku turut menyebabkan isu sosial tidak mampu ditangani dengan sebaiknya oleh pihak kerajaan sehingga memberi kesan kepada negara.

Dalam masa sama, pihaknya turut mencadangkan supaya kerajaan memberi tawaran tertentu kepada mana-mana pihak yang turut membantu dalam usaha pemulihan penagihan dadah seperti Darul Syifa’ dan sebagainya.

“Penerangan berhubung dadah perlu dibuat dengan lebih agresif dan pihak berkuasa perlu memantau soal pengambilan dadah,” katanya.

Selain itu, pihaknya tidak menolak keadaan tersebut turut berlaku disebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan akibat asyik mengejar aspek material berbanding jaminan dari sudut rohani dalam rumah tangga.