PRU14: PAS Terengganu Tawar Lima Lagi Manifesto Awal

4262

Oleh KAM

HULU TERENGGANU – Lorong-lorong cahaya kemenangan PAS semakin terbuka untuk kembali ke Wisma Darul Iman selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, akan datang.

Sehubungan itu, sempena Himpunan Harapan Rakyat-PAS Ganti Umno (Harap-PGU) 3.6 di Batu 24, Kuala Berang bermula 18 hingga 20 Mei, lima lagi manifesto tambahan awal diumumkan kepada rakyat Terengganu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS I Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat yakin pada PRU14 ini sekali lagi rakyat akan memberi kesempatan kepada PAS kembali ke Wisma Darul Iman.

Menurut beliau, PAS Terengganu telah dua kali memerintah negeri iaitu pada tahun 1959 buat kali pertama dan tahun 1999 pada kali kedua.

Justeru, katanya sebagai persiapan menghadapi pilihan raya PAS Terengganu sedia menawarkan 15 manifesto awalnya.

“Pertama, kita (PAS) menjanjikan untuk menyediakan 20,000 peluang pekerjaan dalam tempoh empat tahun. Kedua, kita akan mewujudkan semula Institusi Pengajian Tinggi Islam milik negeri bagi menggantikan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza).

“Ketiga, kita akan memberi bekalan air percuma kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah setiap bulan.

“Keempat, kita (PAS) menawarkan tabung pinjaman usahawan sebanyak RM10 juta setahun dan kelimanya, mewujudkan pusat pemulihan dadah secara holistik (menyeluruh),” ujarnya dihadapan ribuan hadirin Harap-PGU 3.6 malam ini.

Menurutnya, lima lagi tawaran manifesto akan diumumkan pada himpunan Harap-PGU 3.7 di Batu Rakit, Setiu.

Pada 25 Febuari lalu, sempena Harap-PGU 3.5 di Dataran Kampung Raja, Kota Putera, Besut, lima manifesto awalnya telah diumumkan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS I Terengganu ketika itu, Dr Alias Razak.

Bertemakan “Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera” lima manifesto awal yang diumumkan sebelum ini ialah pertama, memastikan setiap rakyat Terengganu berumur 21 tahun memiliki stu lot tapak rumah atau satu unit rumah kediamannya.

Kedua, membuka permohonan tanah baharu serta memberi geran kekal. Ketiga, peruntukan caj wad kelas ketiga percuma di semua hospital kerajaan.

Keempat, peruntukan RM300 untuk pemuda dan pemudi mendapatkan lesen motosikal dan kelima, karnival kahwin kali pertama percuma setiap Dun di seluruh negeri Terengganu.