PRU14: PAS Terengganu Sedia Calonkan Wanita

3694

Oleh : KAM

KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu membayangkan sedia memberi peluang kepada kaum wanita sebagai calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, akan datang.

Pesuruhjayanya, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, PAS yakin dengan kemampuan ‘kaum hawa’ masa kini, jika diberi amanah mewakili PAS.

Beliau berkata, PAS pernah meletakkan tokoh Muslimat pada pilihan raya lalu, yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut.

Menurutnya, negeri Terengganu mempunyai jumlah pengundi wanita yang ramai antara 49 hingga 51 peratus di setiap Dun dan Parlimen.

“Sekarang kita (PAS) mengerahkan seluruh jentera kekuatan kita untuk menggamit masyarakat bersama dengan kita. Dan, kita juga sedang mempersiapkan calon-calon (pilihan raya) kita di kalangan muslima,

“Kita tahu muslimat ini ramai. Di Terengganu ini, antara 49 hingga 51 peratus. Kita memberi kepercayaan kepada kaum wanita,

“Pada PRU13 lalu, kita telah meletakkan calon (muslimat) kita di Kuala Besut dan tahun ini (PRU14) kita mempersiapkan beberapa calon Muslimat, In shaa Allah,

“Kita raikan juga pandangan dan peruntukan untuk muslimat. Kita kena buktikan muslimat boleh jadi calon yang baik. Kita (PAS) tetap yakin dengan kemampuan muslimat dan anak-anak muda,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Ameerah Terengganu (Hamra) 1.0 di Perkarangan Masjid Pengadang Baru, Kuala Terengganu, semalam Sabtu 11 Februari.

Ustaz Satiful Bahri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata PAS tidak ketandusan pelapis muda bagi menerajui kepimpinan parti.

Sebab itu, katanya ramai di kalangan kepimpinan PAS dan wakil rakyat terdiri dari kalangan orang muda.

“Kita (PAS) memberi keutamaan kepada golongan muda. Sebab, inilah sebenarnya bakal pelapis-pelapis kita di masa yang akan datang.

“Kita ada wakil rakyat di kalangan anak muda. Di kalangan pemimpin PAS Pusat juga ramai orang muda dan tinggal beberapa orang (veteran) sahaja lagi,” jelasnya dihadapan lebih 1,500 hadirin.