Terengganu, Malaysia

PRU-13; Undi pos, undi awal, bantu BN kembali ke Putrajaya

undi awal

Satu kajian oleh sebuah firma kajian di Malaysia menunjukkan bahawa Barisan Nasional (BN) mungkin gagal kembali ke Putrajaya jika tidak kerana sistem undi pos dan undi awal.

Undi pos dan undi awal itu telah memberi kemenangan kepada BN bagi 22 kerusi Parlimen, dan ia sudah mencukupi untuk membantu BN terus memerintah Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei lalu, menurut kajian oleh Merdeka Center.

Tanpa 22 kerusi tersebut, BN mungkin setakat mencapai ‘keputusan seri’ 111 kerusi bersama Pakatan Rakyat (PR) – sebuah pakatan tiga parti pembangkang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

polis-undiBahkan, tanpa undi pos dan undi awal yang penting itu, Kongres India Malaysia (MIC), salah satu parti komponen BN, mungkin gagal mempunyai dua menterinya dalam kabinet pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang – iaitu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam (Segamat) dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel (Cameron Highlands).

Beberapa kerusi Parlimen di Johor dan Wilayah Persekutuan juga mungkin jatuh kepada PR, tambah kajian itu.

Maklumat baru yang mendedahkan corak pengundian pada PRU-13 oleh Merdeka Center itu, yang didedahkan semalam, menyimpulkan bahawa BN mungkin kehilangan sehingga 30 kerusi Parlimen jika ia tidak memenangi undi pos dan undi awal itu.

Dalam kajian tersebut, data daripada saluran pengundian berbeza-beza yang didapati daripada 222 kerusi Parlimen itu dianalisis dengan menggunakan sebuah sistem yang direka khas untuk mengenalpasti kumpulan atau gugusan semula jadi.

Kajian itu berupaya menunjukkan corak pengundian pada PRU-13 itu dan mengesahkan perbezaan yang berlaku antara pengundi kawasan luar bandar dan bandar di Malaysia.

Ia juga menunjukkan sekitar 20 peratus pengundi Cina telah memindahkan sokongannya daripada parti-parti BN kepada parti-parti PR.

Dapatan kajian itu sudah tentu menyedihkan para ahli politik PR kerana, sejak beberapa tahun lalu, mereka telah gigih berkempen supaya undi pos dimansuhkan atas alasan ia berpotensi membuka ruang kepada penipuan.

Menyusuli keputusan PRU-13, PKR, DAP dan PAS memfailkan petisyen di mahkamah untuk membatalkan keputusan beberapa kerusi yang dipertandingkan, yang antaranya merujuk kepada kemungkinan adanya penipuan dalam undi pos dan undi awal.

Merdeka Center selanjutnya merumuskan BN boleh kehilangan sehingga 30 kerusi Parlimen jika tidak ada undi awal dan undi pos.

Antaranya termasuk kerusi Segamat (93.3% pengundi pos dan undi awal untuk BN), Cameron Highlands (91.3% pengundi sama untuk BN) dan Labis (89.75% untuk BN).

Dalam laporan kajiannya itu, Merdeka Center juga menyimpulkan bahawa “implikasi daripada undi pos dan undi awal dalam pilihan raya itu sudah pasti menyebabkan masyarakat sivil dan pembangkang terus menekan SPR supaya melakukan reformasi dalam proses pilihan raya” di Malaysia.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan