Beliau menegah mana-mana pihak menjadikan penyebaran video seks sebagai satu ‘kempen’ samada dalam menghadapi pilihanraya umum atau diluar waktu berkempen.
“…..…itu (video seks) kerja dok molek belaka. Budaya fitnah ini bukan dari ajaran (Islam) kita. Termasuk semualah.., hak (dari) kita (PAS) jangan…hak dia pun jangan (buat)…dua-dua pihak jangan.
“Tak boleh buat macam tu… (lawan) hujah yang betullah. Tak boleh.., berdosa buat fitnah,”tegasnya kepada pihak media, ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah mingguan beliau di masjid Rusila hari ini Jumaat 12 April.
Ustaz Abdul Hadi berkata demikian ketika ditanya tentang penyebaran satu video seks ‘terbaru’ yang mirip pemimpin pembangkang yang dilaporkan beredar sejak semalam di kawasan Besut dan Kuala Terengganu.
Polis Terengganu, dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini mengesahkan rampasan beberapa keping cakera padat video yang mengandungi bahan lucah seorang lelaki yang mirip kepada seorang pemimpin PAS.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Penolong Pesuhjaya K.Manoran berkata satu laporan dibuat di balai polis Kampung Raja Besut pagi semalam, Khamis 11 April, selepas polis membuat rondaan di sekitar Kampung Alor Lintang, Besut.
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, beliau tidak akan menjawab sebarang pertanyaan mengenai video lucah yang diedarkan.
Dalam satu kenyataan ringkasnya kepada Harakahdaily, Mustafa berkata, “Semuanya saya telah serahkan kepada peguam saya melalui Awi & Co untuk uruskan.”
Beliau dipercayai merujuk kepada video lucah yang disebarkan melalui beberapa blog Umno sejak lewat petang semalam.




























