Projek Dusun Bandar RM17.25 juta: PAS Lapor Kepada Polis Dan SPRM

2741

PAS akan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perlaksanaan projek pembangunan Dusun Bandar (City Orchard Park) di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur bernilai RM 17.25 juta.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Nurul Islam Mohammed Yusoff berkata pada 17 November 2013, pihaknya telah membuat sidang akhbar berhubung penemuan audit berhubung kepincangan pengurusan tender projek terbabit, namun belum ada tindakan diambil oleh pihak berkenaan.

m_pg03parkmap“Perkara tersebut masih lagi didiamkan oleh pihak-pihak terbabit dan DPPWP mengambil ketetapan untuk membuat laporan polis bagi menggesa untuk menjalankan siasatan serta berjumpa dengan pihak SPRM,

“bagi mendapatkan maklumat sama ada mengenai status pendedahan laporan audit berkenaan. Tindakan ini dilakukan untuk mendapatkan kebenaran sebenar dan bagi memastikan duit rakyat disalurkan kepada saluran yang betul,”ujarnya.

Menurutnnya laporan Ketua Audir Negara telah menyatakan kontrak terbabit telah diberikan kepada Tetuan Zikhtar Associates Sdn Bhd (ZASB) yang dilantik melalui kaedah rundingan terus, berdasarkan Surat Ketua Setiausaha Perbendaharaan bertarikh 17 April 2002 mengenai Garis Panduan Permohonan Perolehan Secara Rundingan Terus.

Sedangkan katanya, perolehan secara rundingan terus hanya boleh dilaksanakan setelah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan.
Selain itu, kata beliau, penemuan audit mendapati Tetuan Zikhtar Associates Sdn Bhd dan perunding arkitek landskap iaitu Gold Green Associates Sdn Bhd (GGASB) tidak mempunyai kepakaran khusus dalam pembangunan dusun.

“Berdasarkan semakan terhadap profil syarikat semasa lantikan, hanya 18% daripada projek kendalian ZASB melibatkan taman rekreasi, namun hanya terhad kepada kerja menanam dan memotong rumput di kawasan rizab jalan.

“Manakala hanya 8% daripada projek kendalian GGASB melibatkan taman rekreasi, namun hanya terhad kepada padang golf. Apakah justifikasi kontrak projek ini diberikan kepada ZASB?,”soalnya
Selain itu, jumlah rizab tanah yang telah diluluskan untuk projek tersebut juga menimbulkan keraguan kerana terdapat percanggahan yang besar dari sehi saiz tanah asal dengan apa yang dimuktamadkan kemudia.

“Berdasarkan maklum balas yang diberikan oleh DBKL pada 21 Mac 2013, keluasan projek tersebut menjangkau kepada 76,890.34 meter persegi setelah persempadanan semula dimuktamadkan berbanding hanya 26,951 meter persegi pada asalnya,”tegasnya.

Beliau dimaklumkan, sebahagian besar daripada tapak cadangan pembangunan projek berkenaan berada di luar rizab tanah yang diluluskan dan beberapa kawasan yang hendak dibangunkan oleh DBKL dimiliki oleh agensi lain seperti Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Alam Sekitar dan Telekom Malaysia Berhad.