KUALA TERENGGANU – Program riadah santai seperti aktiviti kayak dilihat sebagai medium berkesan untuk menarik penyertaan beliawanis dan mengeratkan hubungan ukhuwwah dalam kalangan golongan muda.
Ketua Ameerah DUN Rantau Abang, Siti Maryam binti Muhammad berkata, program berkonsep santai itu menyasarkan beliawanis berumur 15 hingga 30 tahun, khususnya bagi menggalakkan mereka kekal aktif, bersosial secara sihat dan terlibat dalam aktiviti bermanfaat.
Menurutnya, aktiviti kayak yang dianjurkan buat pertama kali itu turut digabungkan dengan sambutan hari lahir peserta bagi bulan Januari dan Februari serta pengisian rohani ringkas sebagai nilai tambah program.
“Sebelum ini, Ameerah DUN Rantau Abang pernah menganjurkan pelbagai aktiviti riadah seperti zumba, bowling dan hiking.
“Pendekatan ini terbukti mampu menarik minat beliawanis untuk hadir dan terlibat secara aktif,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menjelaskan, program riadah seumpama itu bukan sekadar bersantai, malah menjadi platform dakwah berperingkat bagi mendekati golongan muda dalam suasana lebih mesra dan terbuka.
“Diharapkan peserta bukan sahaja dapat mengeratkan ukhuwwah sesama beliawanis, malah terus berhubung dengan pasukan Ameerah serta membantu menarik mad’u melalui aktiviti santai yang diselitkan pengisian rohani,” ujarnya.
Justeru itu, beliau menyeru kepada semua anak muda dijemput hadir dan menyertai program ini secara beramai-ramai bagi memanfaatkan ruang riadah yang sihat, membina persahabatan dan mengukuhkan ukhuwwah dalam suasana santai serta bermakna.





























