Alhamdulillah,dengan izin Allah SWT kita berjaya dalam bersama-sama menjayakan Program Kempen Anti Rempit Ambang Merdeka (KARMA) yang berakhir pada subuh 31 Ogos 2015.
Sekali lagi BANTU mengucapkan tahniah dan setinggi penghargaan kepada semua yang menjayakannya terutama kepada Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI) yang menjadi perintis program seumpama ini. Tidak lupa juga penghargaan kepada NGO GASAK, Community Policing, surau Durian Burung, pihak PDRM, pihak media KAMI serta Sinar Harian dan masyarakat setempat.
Penyertaan peserta kempen anti rempit yang bertempat di Surau Al Ikhlas Durian Burung kali ini dianggarkan seramai 500 orang, 95% terdiri daripada golongan muda. Komitmen yang memberangsangkan ini menggambarkan golongan muda sudah pun mempunyai pemikiran yang matang serta prihatin untuk membasmi masalah rempit yang berlaku.
Pengisiannya bermula daripada kuliah Maghrib khas kemudian disusuli dengan barbeque ambang merdeka. Sambutannya begitu menggalakkan, secara tidak langsung dapat menghubungkan silaturrahim antara satu sama lain,juga antara masyarakat dan pihak PDRM.


Dengan wujudnya aktiviti sebegini, kami yakin kadar jenayah dan rempit dapat diatasi dengan berkesan. Sehubungan itu, pendedahan program sebegini didalam masyarakat terutama kepada orang muda amat perlu bagi mengurangkan kadar jenayah disesebuah tempat atau mukim.
InsyaAllah langkah susulan akan dibuat untuk terus menggerakkan pasukan yang ada dalam aktiviti mencegah jenayah sekitar mukim Chabang Tiga iaitu Seberang Baroh,Tok Kaya,Durian Burung dan sekitarnya.
Sekali lagi syabas buat semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dan para penyumbang tenaga serta wangringgit, semoga Allah SWT sahaja lah yang membalasnya,semoga diberkati dan dirahmati Allah SWT senantiasa. Amiin.
Jazakumullahu khairan jaza’.
Ahmad Sabri Yusof
Setiausaha.
Pertubuhan Prihatin Asnaf Negeri Terengganu (BANTU)
31 Ogos 2015.



























