Program Julung Kali Bual Bicara Hartanah Mendapat Sambutan

1657

Oleh : Fariz Irwan Mustafa

Tetuan Fariz Halim & Co (FALCOlaw) dengan kerjasama Terengganu Inc., PMINT dan KOPERAT telah mengadakan Program Bicara Santai Guaman Jualbeli Hartanah yang bertempat di Terengganu Inc Hall, Chendering, Kuala Terengganu, Terengganu bermula jam 9 pagi sehingga jam 1 tengah hari.

Kehadiran peserta seawal jam 8 pagi menunjukkan respon yang amat positif dalam kalangan warga Terengganu tentang kesedaran jualbeli hartanah yang penting pada zaman sekarang. Seramai 100 orang peserta termasuk 10 orang tetamu khas telah hadir.

Program dimulai dengan ucapan alu-aluan yang telah disampaikan oleh Rakan Kongsi Kanan Firma Fariz Halim & Co (FALCOlaw), Tuan Haji Fariz Irwan bin Dato’ Haji Mustafa yang mana dalam ucapannya telah menyatakan penghargaan kepada pihak Terengganu Inc., PMINT dan KOPERAT yang menaja bagi menjayakan program ini.

Manakala, ucapan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Presiden Terengganu Inc., YBhg Dr. Wan Ahmad Rudirman Bin Wan Razak yang berbesar hati menyediakan prasarana tempat iaitu Dewan Terengganu Inc. juga telah mengucapkan penghargaan kepada FALCOlaw kerana telah memberi kepercayaan kepada pihak mereka memandangkan program ini merupakan program luar yang pertama dianjurkan di Terengganu Inc.

Ucapan perasmian telah disampaikan oleh YB Timbalan Exco Perumahan & Kerajaan Tempatan, YB Ustaz Haji Ahmad Shah bin Muhamed. Dalam ucapannya, beliau telah menekankan mengenai kepentingan program hartanah seperti ini dianjurkan dengan lebih banyak di Terengganu bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada pihak Fariz Halim & Co (FALCOlaw) atas kesudian menganjurkan program sebegini secara percuma serta menjemput peguam-peguam yang berpengalaman dalam guaman hartanah.

Slot pertama dimulai dengan Tuan Redzuan Idrus yang bertajuk Memahami Geran Tanah dengan pembawaan yang santai dan mudah untuk difahami. Minum pagi juga disediakan untuk memastikan peserta tidak penat dan sesak dengan info yang padat dan bermakna yang telah diberikan. Slot kedua disambung oleh Tuan Haji Fariz Irwan yang menerangkan Perjanjian Jualbeli Rumah/Hartanah.

Slot seterusnya disampaikan oleh Puan Hajjah Nor Raihan binti Abdullah tentang urusan pinjaman bank yang mana mendapat sambutan hangat oleh peserta kerana memberi tips bagi memudahkan mereka membuat pinjaman di masa hadapan.

Slot terakhir diisi oleh Puan Marisa binti Mamat tentang Urusan Pinjaman LPPSA (Lembaga Pembiayaan Perumaha Sektor Awam)yang telah disediakan oleh Kerajaan Malaysia kepada anggota Penjawat Awam untuk membiayai pembelian dan pemilikan hartanah.

Sesi soal jawab telah juga diadakan sebanyak dua kali dan mendapat sambutan dalam kalangan peserta yang tidak melepaskan peluang bagi bertanya perihal hartanah terutamanya mengenai LPPSA dan status hartanah serta pendaftaran hakmilik. Ini menunjukkan perkembangan yang positif dalam kalangan warga Terengganu dalam mendalami ilmu perihal hartanah dan pinjaman hartanah. Borang penilaian telah diedarkan dan majoriti peserta telah menyatakan hasrat supaya menganjurkan program sebegini pada masa akan datang.