KUALA TERENGGANU – Masyarakat kampung pinggir bandar ini, Kampung Durian Burung telah berjaya dalam usaha pertama mengurangkan aktiviti haram ‘Mat Rempit’ pada malam ambang Merdeka semalam.
Melalui program usahama antara Jawatankuasa Surau al-Ikhlas Durian Burung yang berganding bahu dengan Persatuan Komuniti Kepolisan-Rakan Cegah Jenayah Terengganu (PKK-RCJT), Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI), Kelab 4WD Kuala Terengganu (GASAK), Badan Kebajikan Asnaf Negeri Terengganu(BANTU), tiada aktiviti rempit dilaporkan, sebagaimana kebiasaannya berlaku.
Pengarah Program Kempen Anti Rempit Ambang Merdeka (KARMA) Wan Faizul Abas berkata, penyertaan dan sokongan masyarakat sekitar terhadap program tersebut sangat menggalakkan dan mendapat pujian pihak polis.
“Penyertaan dan sokongan masyarakat sekitar terhadap program ini sangat menggalakkan dan dipuji oleh pihak PDRM sendiri yang diwakili oleh Sarjan Nasir Awang.
“Program yang pada peringkat awalnya dipersetujui secara lisan untuk kerjasama sepenuhnya oleh Bahagian Trafik IPD Kuala Terengganu sewaktu perbincangan awal beberapa minggu lalu, namun tidak dapat dihadiri oleh Trafik IPD,”ujarnya.
Menurutnya, beliau dimaklumkan seluruh anggota terlibat dengan beberapa program kerajaan negeri Terengganu daripada siang hari hingga ke larut malam.
Program KARMA dimulai dengan jamuan ‘bakar ayam’ (BBQ) dan diikuti dengan majlis penyerahan borang ahli baru PKK-RCJT oleh wakil Kampung Durian Burung kepada Presiden PKK-RCJT Tuan Syed Mohamed Shamsudin Syed Azam.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha PKK-RCJT Dato’ Syed Ahmad Fariq Dato’ Syed Ahmad selaku Setiausaha PKK-RCJT dan Pemangku Ketua Balai Polis Chabang Tiga Sarjan Nasir Awang.
Wan Faizul yang juga Pengerusi Jabatan Kerajaan, Swasta dan NGO, PAS Kuala Terengganu berkata, rondaan dengan anggota seramai lebih kurang 50 orang yang terdiri daripada ahli PKK-RCJT, GANTI, GASAK, BANTU dan ahli Qaryah Durian Burung.
“Rondaan yang bermula pada jam 1 pagi berakhir dengan solat Subuh berjamaah di Surau al Ikhlas,”tambah beliau.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan, program tersebut amat berjaya, bahkan aktiviti merempit tidak kelihatan dikawasan berkenaan sejak sebulan yang lalu, apabila isu tersebut mula diberi perhatian serius oleh pihak-pijak terbabit KARMA.
“Malam ambang merdeka berakhir dengan aman dan tiada perkara yang tidak diingini berlaku. Suasana jalan utama juga lengang,
“saya mengucapkan terima kasih kepada semua 300 orang hadirin, ahli Qaryah Durian Burung dan semua pihak yang terlibat,”ujarnya lagi
Beliau berharap program tersebut menjadi contoh teladan yang baik kepada daerah-daerah lain untuk berganding bahu membanteras gejala rempit yang gagal diselesaikan oleh pihak kerajaan Umno dan Barisan Nasional sebelum ini.










