PRN Negeri Sembilan; Muafakat Baharu Mampu Wujud Kestabilan Nasional, Diperluas Ke Negeri Lain

25

SEREMBAN – Konfigurasi dan muafakat politik baharu yang diterokai di Negeri Sembilan berupaya menjadi pencetus kepada kestabilan politik dan ekonomi yang lebih kukuh di peringkat nasional.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerjasama politik berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera, malah merangkumi kesejahteraan seluruh rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Kestabilan inilah yang boleh memberi jaminan kepada kedudukan ekonomi, sosial, pendidikan serta kemasukan pelaburan langsung asing (FDI). Akhirnya, semua kaum termasuk Tionghoa, India, Iban dan Kadazan akan mendapat manfaat daripada kestabilan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Muafakat Nasional PRN Negeri Sembilan 2026 di sini, pada Ahad 26 Julia.

Ahmad Samsuri menjelaskan, rakyat di negara ini memerlukan sebuah kerajaan yang stabil selepas melalui pelbagai fasa eksperimen politik sebelum ini. Pembubaran pentadbiran di sesebuah negeri akibat ketidakstabilan politik hanya merugikan rakyat secara keseluruhan.

Sehubungan itu, beliau menasihati seluruh kepimpinan parti agar mempertahankan persefahaman politik yang terbina demi mewujudkan pentadbiran baharu yang kukuh.

Beliau memberi penegasan bahawa komitmen padu semua pihak akan membolehkan Malaysia kembali bangkit sebagai sebuah negara yang dihormati di peringkat antarabangsa.

Dr. Sam menambah, kerjasama politik yang diterokai menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dijangka menjadi model permulaan bagi perluasan kestabilan politik ke negeri-negeri lain dan peringkat nasional.

Katanya, inisiatif persefahaman yang dimulakan di Negeri Sembilan merupakan nota sejarah penting dalam pembentukan landskap politik tanah air.

“Kita berharap kestabilan baharu yang bermula di Negeri Sembilan ini dapat diteruskan ke negeri-negeri lain seperti Melaka dan Sarawak, seterusnya di peringkat nasional bagi memastikan tadbir urus negara berjalan lancar,” jelasnya.

Beliau menegaskan, pengajaran daripada episod ketidakstabilan politik lalu membuktikan kepentingan wujudnya satu gabungan atau persefahaman pilihan raya yang kemas dan mantap.

Katanya lagi, kesepakatan berkenaan berjaya dicapai menerusi rundingan singkat berasaskan niat untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

Beliau menegaskan komitmen penuh pihak kepimpinan untuk memelihara muafakat itu demi memacu pembangunan negara secara berterusan.