PRK Rompin; SPR Perlu Lebih Tegas, Jamin Kempen Lebih Adil

805

Oleh : Nik Mohamadk Abduh Bin Nik Abd Aziz

Saya menggesa agar dilaksanakan satu pilihanraya yang lebih adil dan telus terutamanya bagi PRK Rompin dan juga PRK Permatang Pauh kali ini. Ini kerana seringkali pilihanraya yang berlaku tidak mempunyai ‘padang yang sama rata’ terhadap parti-parti yang bertanding untuk bersaing secara sihat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah pasti di antara mereka yang paling bertanggungjawab terhadap urusan pilihanraya di Malaysia. Kuasa dan kebebasan SPR daripada pengaruh luar adalah termaktub di dalam perlembagaan negara sejak 1957. Maka, selain daripada penggunaan dakwat kekal, SPR juga bertanggungjawab dalam memainkan peranan bagi memastikan kempen yang lebih adil kepada kesemua parti.

Jawatankuasa Pilihan Khas berhubung dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya telah pun ditubuhkan suatu ketika dahulu dan mereka pernah mengesyorkan kepada SPR supaya menyediakan suatu garis panduan atau ‘code of conduct’. Garis panduan ini merangkumi 4 asas yang penting bagi memastikan suatu bentuk pilihanraya yang adil dan saksama. Antaranya adalah sekatan ke atas kuasa sebagai badan eksekutif, jentera kerajaan, perbelanjaan menggunakan wang kerajaan dan penggunaan media.

Saya merasa kesal dengan siri-siri pilihanraya yang dilihat agak tempang. Di antaranya penggunaan istilah ‘kerajaan’ dan ‘parti’ yang sudah pasti mempunyai makna dan kesan psikologi yang berbeza. Parti Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat tidak seharusnya menggunakan istilah kerajaan dalam siri-siri kempen mereka kerana apabila berlakunya pilihanraya tidak ada lagi kerajaan mahupun pembangkang.

Ini yang seringkali berlaku. Malah, beberapa peruntukan besar menggunakan nama dan wang kerajaan digunakan oleh pihak ‘parti’ yang memerintah untuk meraih undi masyarakat. Jelas ini sesuatu yang melanggar etika dalam pilihanraya.

Justeru, saya ingin menggesa kepada SPR supaya meneliti cadangan berikut;

(i) Memastikan pihak yang bertanding di dalam mana-mana pilihanraya adalah mewakili ‘parti’ dan bukan ‘kerajaan’ mahupun ‘pembangkang’.

(ii) Memastikan ada sekatan terhadap penggunaan jentera kerajaan, badan-badan kerajaan sama ada kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri dan di peringkat tempatan.

(iii) Memastikan tidak ada perbelanjaan dan peruntukan yang besar menggunakan kuasa dan wang kerajaan dalam meraih undi masyarakat.

(iv) Menyediakan hak sama rata bagi parti-parti yang bertanding dalam akses kepada media terutamanya media-media utama elektronik dan cetak milik kerajaan.

Perkara-perkara ini penting bagi menjamin suatu pilihanraya yang lebih adil. Saya juga berharap agar SPR lebih tegas terhadap perkara sebegini dan mengfokuskan perkara yang lebih utama dalam memastikan keadilan terhadap parti yang bertanding.

***YB Ustaz Nik Mohamad Abduh Bin Nik Abd Aziz adalah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas