PRK Pengkalan Kubor; ‘Pengundi Aneh’ Mengundi di UPU Bendang Pa’ Yong

1217

Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) menerima aduan daripada petugas pilihanraya PAS di UPU Bendang Pa’yong, Pengkalan Kubor tentang seorang pengundi yang disyaki bukan warganegara Malaysia, namun mempunyai kad pengenalan dan ‘passport’ Malaysia.

Menurut Pengarahnya, N0orazmir Zakaria, para peguam JUHAM yang bertugas di situ dengan serta-merta menahan dan menyoal-siasat pengundi terbabit serta menyemak kad pengenalan serta passport beliau.

Noorazmir Zakaria (2)“Pengundi tersebut asalnya diiringi oleh Penghulu Kampung Bendang Pa’yong. Namun setelah menyedari kehadiran peguam JUHAM, penghulu tersebut terus melarikan diri dan meninggalkan pengundi tersebut.

“Keraguan semakin memuncak apabila ketika disoal peguam JUHAM, pengundi tersebut langsung tidak tahu berapa nombor Kad pengenalan beliau, berapa umur beliau dan di mana alamat beliau di Pengkalan Kubor,”kata Noorazmir dalam satu kenyataan.

Malah, katanya, yang lebih aneh adalah pengundi tersebut juga tidak tahu apakah nama Dun tempat beliau mengundi undi ini dan apakah nama tempat UPU beliau mengundi.

“pengundi tersebut mengaku bahawa beliau memangkah calon Barisal Nasional. Berdasarkan rekod di dalam passport beliau, beliau kerap berulang-alik ke Thailand.

“Apabila ditanya, beliau mengesahkan keluarga beliau menetap di Thailand dan kali pertama beliau mengundi adalah ketika pilihanraya umum ke-13 baru-baru ini,”tambah Noorazmir

Justeru JUHAM menyeru kepada semua petugas-petugas pilihanraya untuk lebih berwaspada dan cakna dengan individu-individu yang mencurigakan.

“Sekiranya wujud individu yang mencurigakan, petugas-petugas diminta untuk segera melaporkan kepada peguam JUHAM yang bertugas,”tegasnya