Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermesyuarat pada hari ini Rabu, menetapkan 22 Mac depan sebagai tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.06 Chempaka, Kelantan.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 10 Mac dan tarikh pengundian awal pula akan diadakan pada 18 Mac.
“Sebanyak 42 saluran pusat mengundi akan dibuka,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas mengenai PRK DUN Chempaka di sini, Rabu.
Seramai 21,890 pengundi berdaftar di Chempaka.
Kerusi Dun Cempaka kosong berikutan kematian penyandangnya, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akibat kanser prostat pada malam Khamis 12 Februari lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu, al-Marhum Tok Guru Nik Aziz menang di kerusi DUN Chempaka dengan majoriti 6,500 undi.
Mursyidul Am PAS itu mendapat 12,310 undi, manakala calon Barisan Nasional Wan Razman Wan Abd Razak memperolehi 5,810 undi.
Sehubungan itu, sebelum ini, Umno dan Barisan (BN) khususnya Kelantan menyuarakan tidak mahu bertanding dalam PRK tersebut.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed mengatakan sekiranya BN tidak bertanding di DUN Chempaka, ia memudahkan kerajaan persekutuan memberi tumpuan dalam usaha bantuan pasca banjir.
Beliau bagaimanapun berkata keputusan itu belum dimuktamadkan kerana ia belum dibincangkan di mana-mana peringkat.
“Itu pandangan peribadi. Saya belum bincang dengan Umno Bahagian Pengkalan Chepa dan Badan Perhubungan Umno Negeri untuk mendapatkan pandangan mereka,” kata Mustapa.
Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pula dilaporkan berkata, keputusan sama ada untuk meletakkan calon pada PRK DUN Chempaka hanya akan ditentukan kepimpinan tertinggi BN.
“Dalam konteks di Kelantan masa ini, kita ada pilihan sama ada menjaga rakyat atau mencari wakil rakyat. Menjaga rakyat seharusnya menjadi keutamaan apa lagi di sana masih ada beribu orang yang tidak selesai dari segi perumahan (untuk mangsa banjir),” katanya
Mengenai cadangan Mustapa itu, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata BN akan mendapatkan laporan lengkap Pengerusi Perhubungan BN Kelantan sebelum membuat keputusan berhubung penyertaan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chempaka.
Tengku Adnan berkata pandangan itu akan terus dibincangkan antara pimpinan tertinggi BN, walaupun perkara mengenainya telah disentuh pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN Jumaat lepas.










