Pribumi Sarawak Jadi Penduduk Kelas Bawahan

1636

MIRI – Kampung Pujut Tanjung Batu Jalan Miri Bypass atau nama asalnya ‘Pujut Rail’ merupakan penempatan setinggan di pinggir bandaraya Miri.

Menurutnya Pesuruhjaya PAS Sarawak, Haji Jofri Jaraiee, kebanyakan penduduk di situ berbangsa Melayu Miriek, Melanau, orang Ulu dari Baram dan juga Iban.

Keadaan rumah di kpg Pujut RailKatanya, majoriti penghuninya adalah pribumi Sarawak dan sudah menetap di situ lebih dari 50 tahun.

“Walaupun bandaraya Miri merupakan sebuah bandaraya peranginan yang indah dan menarik tetapi masih terdapat lagi rakyat yang kurang bernasib baik,

“tinggal dalam keadaan daif disebabkan mereka tidak mampu memiliki rumah kerana harga terlalu mahal,”ujarnya.

Selain itu, Yang Dipertua PAS Miri itu berkata, mereka juga tidak dapat menikmati kemudahan asas yang disediakan oleh pihak kerajaan termasuk elektrik dan bekalan air bersih.

“Mereka seolah-olah dianggap sebagai golongan kelas bawahan disebabkan mereka tinggal diatas tanah kerajaan dan dianggap sebagai setinggan walaupun mereka adalah penduduk asal dan juga warganegara Malaysia.

“sepatutnya menikmati kemudahan asas dari pihak pemerintah tetapi dipinggirkan disebabkan mereka tidak mampu bersaing dengan pelabur luar yang kaya raya serta mampu membeli tanah dari pihak kerajaan yang sepatutnya penduduk asal diberi geran tanah,”jelasnya.

Beliau berkata, mereka sudah lama memohon kemudahan asas tersebut tetapi malangnya pemohonan mereka ditolak disebabkan mereka tinggal di penempatan setinggan.

IC Helmi Majid & Rashidah JohniOleh itu, katanya, mereka terpaksa menyambung bekalan elektrik dan air dari rumah sebelah yang ada kemudahan tersebut.

“Jambatan papan kayu atau titian yang usang menuju ke rumah mereka yang dibina dipinggir sungai juga tidak begitu selamat untuk digunakan sekiranya tidak berhati-hati.

“Rumah mereka juga dibina menggunakan papan kayu dan papan lapis yang terpakai dan mereka amat memerlukan bantuan dari pihak berkuasa untuk membina rumah yang selesa dan selamat untuk tempat tinggal,”kata Jofri.

Bukan sahaja dianaktirikan dari mendapat kemudahan, bahkan warga emas dikalangan mereka turut tidak mendapat pembelaan.
“Kita juga mendapat aduan dari warga emas yang masih belum mendapat bantuan bulanan dari badan kebajikan.

“Mereka sudah lama memohon tetapi tiada sebarang jawapan sehingga kini.

“Antara mereka ialah Encik Helmi Bin Majid dan isteri beliau Puan Rashidah Binti Johni dari Kampung Pujut Padang Kerbau, dan juga Encik Pa Bin Keri dari Kampung Pujut Tanjung Batu Jalan Miri Bypass,”ujarnya lagi.

Beliau berkata, mereka pernah memohon bantuan kebajikan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat di Miri tetapi sehingga kini tiada sebarang jawaban diterima dari Jabatan Kebajikan berkenaan.

Resit Kebajikan Pa Bin KeriJusteru itu, PAS menggesa pihak berkuasa segera membantu mereka.

“Kita mengesa pihak berkuasa dan pihak yang berkenaan dapat segera membantu serta menyelesaikan masalah penduduk yang berkenaan dengan sebaiknya

“kerana mereka adalah sebahagian dari rakyat Malaysia yang berhak diberi tempat tinggal yang selesa serta bantuan yang sewajarnya,”tegasnya.

Beliau berkata, kerjasama dengan pihak yang berkenaan untuk mengatasi masalah ini amat dihargai.