Presiden PAS Berjaya Jalani Pembedahan Jantung

2257

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden telah berjaya menjalani pembedahan penggantian injap di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh IJN, Ustaz Abdul Hadi telah mengalami peningkatan simptom disebabkan oleh injap jantung yang bocor. Keadaan ini telah menjejaskan aktiviti harian beliau, maka doktor menasihatkan agar pembedahan injap jantung tersebut dilakukan.

“Pada masa ini Dato’ Seri Abdul Hadi dirawat di Unit Rawatan Rapi IJN di mana keadaan beliau akan dipantau untuk beberapa hari sebagai sebahagian daripada rutin bagi pembedahan jantung,

“48 jam akan datang adalah tempoh yang penting selepas pembedahan dan beliau akan berada di bawah pemerhatian rapi sepasukan doktor dan jururawat di Unit Rawatan Rapi,” menurut Pengurus Kanan Komunikasi Koperat, Aina Jamil.

Awal pagi tadi, Dato Seri Abdul Hadi telah menjalani pembedahan jantung selama 3 jam dilakukan oleh panel doktor yang diketuai oleh Perunding Kanan dan Pakar Bedah Kardiotorasik yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif IJN Dato’ Seri Dr Mohd Azhari Yakub.

Menurut kenyataan itu lagi, bersama dalam pembedahan itu ialah Timbalan Ketua Jabatan Anestesiologi Dato’ Sri Dr Jeffrey Jeswant Dillon.

“Para doktor merasa gembira dengan prosedur yang berlangsung seperti yang dijangkakan dan setakat ini parameter penting menunjukkan beliau stabil,

“dan (doktor) telah menasihatkan supaya Dato’ Seri Abdul Hadi tidak menerima pelawat (luar) kecuali daripada ahli keluarga terdekat,” tulis beliau lagi