PR1MA Harus Mengutamakan Mereka Yang Layak

880

Merujuk kepada kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA bertarikh 14 Disember 2013, beliau menyatakan bahawa pihak Perbadanan PR1MA Malaysia akan memperkenalkan program bantuan bagi membantu mereka yang tidak layak mendapatkan pembiayaan daripada pihak bank setelah dipilih untuk memiliki rumah yang telah ditawarkan.

Walaupun rancangan PR1MA tidak bercanggah dengan Akta PR1MA 2012, namun terdapat beberapa perhatian yang perlu dijelaskan.

Pertama, kebiasaannya pihak bank menolak permohonan pembiayaan adalah disebabkan oleh kegagalan menepati tahap kredit (credit rating) yang telah ditetapkan. Ini bermakna, pihak bank tidak mahu mengambil risiko kegagalan pembayaran semula oleh pemohon.

Jika PR1MA menggunakan mekanisme lain untuk menampan pembiayaan permohonan mereka, dikhuatiri tetap akan berlaku masalah pembayaran semula terutamanya jika produk pembiayaan yang ditawarkan melibatkan instrumen riba’.

Dalam hal ini, pihak PR1MA juga mesti menjelaskan berapa peratus jumlah pemohon yang gagal mendapatkan pembiayaan daripada bank meskipun telah dipilih untuk membeli rumah tersebut.

Kedua, pihak PR1MA harus menyatakan apakah mekanisme yang digunakan untuk membantu golongan ini? Jika merujuk kepada Seksyen 42 (Kumpulan Wang Bantuan Orang Yang Layak) Akta PR1MA 2012, terdapat 9 jenis sumber wang yang boleh dimanfaatkan untuk memenuhi obligasi ini.

Namun diharapkan agar pihak Perbadanan tidak menggunakan sumber pinjaman seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 45 kerana dibimbangi boleh memberikan impak gandaan negatif yang besar sekiranya pihak pembeli gagal untuk membuat pembayaran semula kepada pihak PR1MA.

Ketiga, pihak PR1MA mesti menyusun prioriti bahawa projek perumahan yang ditawarkan adalah bagi membolehkan rakyat berpendapatan sederhana menikmati pemilikan rumah dengan kadar yang berpatutan.

Oleh yang demikian, PR1MA harus mengutamakan mereka yang layak mendapatkan pembiayaan untuk membeli berbanding untuk menyewa sahaja. Keutamaan juga adalah diberikan kepada golongan isi rumah yang masih belum memiliki kediaman sendiri.

Nasrudin Hassan
AJK PAS Pusat
Ahli Parlimen Temerloh
16 Disember 2013