PPSMI : Yang Dikejar Tak Dapat………

848

Mutakhir ini, polemik pelaksanaan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mendapat pelbagai reaksi dan kecaman sama ada daripada kalangan ahli politik, pakar bahasa, pendidik mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Tuntasnya, majoriti menolak pelaksanaan PPSMI yang tidak wajar diteruskan kerana telah menunjukkan kegagalan secara jelas selain memangsakan ramai pelajar.

2. Saya menyambut baik tindakan lima wakil Gabungan NGO Pendidikan dan Ummah yang telah menyerahkan memorandum pada 7 Februari yang lalu bagi menggesa Perdana Menteri selaku pemangku Menteri Pendidikan untuk membatalkan hasrat melaksanakan semula dasar PPSMI di negara ini. Hal ini menunjukkan ketegasan rakyat dalam menolak dasar PPSMI dalam sistem pendidikan negara yang seharusnya dipandang serius oleh Kerajaan Pakatan Harapan.

3. Saya menegaskan bahawa pelaksanaan PPSMI adalah tidak relevan dan wajar ditolak dalam sistem pendidikan negara walaupun menggunakan sistem baharu. Begitu banyak kajian akademik yang dikeluarkan oleh pakar menunjukkan kegagalan PPSMI sehingga membebankan para guru dan pelajar. Kegagalan dasar PPSMI ini telah terbukti apabila pada tahun 2003 hingga 2009, prestasi pelajar yang menduduki ujian antarabangsa Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Student Assesment (PISA) mengalami kemerosotan.

4. Tambahan pula, pelaksanaan semula PPSMI bukan perkara yang mudah apabila melibatkan pindaan Akta Pendidikan 1996 terutama berkaitan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah kebangsaan. Oleh itu, kajian dalam perundangan perlu dilakukan oleh Kerajaan secara teliti dan mendalam bagi mengelakkan konfrontasi berlaku dalam undang-undang negara.

5. Selain itu, saya juga menegaskan bahawa penggunaan bahasa ibunda perlu dikekalkan dalam penggunaan subjek selain Bahasa Inggeris seperti mana kenyataan UNESCO yang menegaskan keberkesanan penggunaan bahasa ibunda dalam sistem pendidikan. Perkara ini terbukti ketika mana negara-negara maju seperti Jepun, Korea Selatan dan Perancis yang menggunakan bahasa ibunda negara masing-masing dalam pembelajaran Sains dan Matematik.

6. Keadaan ini akan turut memberi implikasi yang besar terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) pada masa akan datang. Persoalannya, sejauh mana Kerajaan meneliti kesan pelaksanaan dasar PPSMI dalam TVET dan STEM?

7. Sistem pendidikan merupakan satu tunjang utama dalam pembangunan dan perpaduan sesebuah negara. Malah, satu kerugian yang besar sekiranya Kerajaan melaksanakan semula PPSMI walhal mendapat tentangan dan kritikan hebat daripada pakar akademik.

8. Oleh itu, Kerajaan sewajarnya menfokuskan isu-isu utama dalam sistem pendidikan negara dengan melihat dasar serta perlaksanaan yang lemah dan tidak sistematik. Sehubungan itu, perkara ini seharusnya diperbaiki bukannya diperkenalkan semula PPSMI yang telah dimansuhkan suatu ketika dahulu kerana kegagalannya.

9. Perkara utama yang perlu Kerajaan teliti secara menyeluruh dan mendalam adalah kelemahan dan halangan utama penyebab pelajar lemah dalam menguasai Bahasa Inggeris. Tidak dinafikan Bahasa Inggeris harus diperkukuhkan dan dipertingkatkan oleh pelajar untuk menguasainya tanpa meminggirkan Bahasa Melayu.

10. Justeru, saya menyarankan Kerajaan mempertimbangkan semula cadangan pelaksanaan PPSMI dalam sistem pendidikan negara. Bahasa Melayu sewajarnya dimartabatkan sebagai bahasa ilmu, bahasa antarabangsa, perdagangan dan komersial. Oleh hal yang demikian, dasar PPSMI adalah tidak relevan untuk dilaksanakan pada masa ini dan pokok utama isu pendidikan perlu diberi keutamaan supaya yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB Senator Dato’ Haji Husain Awang
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Negara