KUALA TERENGGANU – Pondok Ustaz Adam, Pusat Tarbiah Nurul Iman (PTNI) mengukir nama apabila berjaya merangkul juaea berganda dan tempat ketiga keseluruhan dalam Anugerah Ekoceria Institusi Pendidikan Islam Terengganu (ECIPIT).
Anugerah diraih PTNI anjuran Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) membuktikan bahawa institusi pondok mampu cemerlang dan setanding dengan pusat pembelajaran lain.
Mudir PTNI, Ustaz Adam Said berkata, kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama padu seluruh warga PTNI yang melaksanakan amanah dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan ganjaran.


“Alhamdulillah, kami bersyukur kepada Allah SWT atas kejayaan ini. Ia lahir daripada komitmen bersama pelajar, guru, petugas dalaman dan sahabat-sahabat PTNI yang sentiasa hadir berkhidmat walaupun tinggal di luar,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, PTNI dinobatkan Johan Kategori Keselamatan dan Johan Kategori Keceriaan, dua aspek yang menjadi keutamaan institusi itu selain usaha membentuk pelajar sebagai insan soleh di sisi Allah SWT.
Tambahnya, pencapaian tersebut selari dengan hasrat DYMM Sultan Mizan Zainal Abidin, selaku Ketua Agama Negeri, agar institusi pendidikan Islam terus diperkasa dari segi pengurusan dan persekitaran.


Dalam masa sama, PTNI turut menerima tempat ketiga Keseluruhan ECIPIT, sekali gus mendorong pihak pengurusan untuk melakukan penambahbaikan berterusan.
“Antara kelemahan yang dikenal pasti dan akan diperbaiki ialah aspek susunan tempat tidur pelajar, bilik air, kesihatan serta elemen keceriaan tertentu,” ujarnya.
Ustaz Adam turut merakamkan penghargaan kepada ADUN Kota Putera, YB Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, pemimpin-pemimpin negeri dan daerah Besut, serta JHEAT dan YDSM atas sokongan berterusan terhadap institusi pondok.


Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Mohd Norkhuzaini Ab Rahman berkata kejayaan PTNI telah mengharumkan nama Kota Putera di peringkat negeri.
“Setinggi-tinggi tahniah kepada Mudir dan seluruh warga PTNI atas iltizam mewujudkan persekitaran pondok yang selamat, ceria dan lestari. Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada institusi pendidikan Islam lain,” katanya.
Anugerah ECIPIT tersebut telah disampaikan sendiri oleh DYMM Sultan Mizan Zainal Abidin dalam majlis penuh istiadat, sekali gus mengiktiraf peranan institusi pondok sebagai aset penting pembangunan pendidikan Islam di Terengganu.
































