Politik ‘Main Pondok-pondok’…..

3983

Oleh : Dr. Azman Ibrahim

Setelah beberapa siri tindakan menyusahkan rakyat dilakukan antaranya isteri letak jawatan Ahli Parlimen kerana suami nak bertanding, ADUN diarahkan letak jawatan kerana calon bakal MB baru nak masuk Dewan Undangan Negeri Selangor disertakan pula dengan langkah itu dan langkah ini, sekali lagi pimpinan PH tak habis-habis dengan idea politik kepentingan peribadi ala main pondok-pondok.

Idea main pondok-pondok sebelum ini juga termasuklah projek 16 September yang dimasyhurkan bakal menyaksikan pertukaran Kerajaan Pusat dengan kemasukan beramai-ramai Ahli Parlimen BN menyertai PR.

Walau apa yang berlaku dan apa yang rakyat perlu lalui, termasuklah menghadapi pilihanraya kecil demi pilihanraya kecil, PM mestilah pemimpin besar kami! Lain dari pemimpin besar kami, layaknya hanya sekadar sebagai PM sementara sahaja.

Ternyata ‘idea bijak’ pimpinan PH menjadi bahan ketawa khalayak samada di alam maya atau di alam nyata. Lepas PRU 14, PH menang dan mengambil alih kerajaan, Tun Mahathir jadi PM tapi hanya sekadar PM sementara. Tindakan pertama yang perlu diambil PM sementara ini ialah membebaskan bakal PM yang sedang terpenjara. Selepas bakal PM dibebaskan, PM sementara mestilah menyerahkan jawatan PM kepada bakal PM dalam tempoh 6-12 bulan. Tentunya sebelum itu akan ada Ahli Parlimen yang perlu letak jawatan dan diadakan pilihanraya kecil untuk memberi laluan kepada bakal PM memasuki Dewan Rakyat.

Di sebuah kedai kopi di Jabi, seorang tua yang sedang minum kopi sambil makan nasi kerabu bertanya kepada saya. “Setakat yang ambo tahu Anwar dah dibicarakan di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Lepas itu mohon pula Pengampunan Diraja. Tapi semua gagal. Nak bebaskan Anwar lagu mana?” Saya hanya senyum semanis air teh yang sedang diminum bila mendengar bagaimana orang kampung boleh faham proses undang-undang walau kerjanya sebagai penoreh getah.

Seorang lagi yang sedang minum teh tarik sambil mengunyah kuih pau menambah, “Lepas bebas dari penjara kena tunggu 5 tahun baru boleh masuk politik. Nak guna kaedah mana untuk lantik jadi PM dalam masa 6-12 bulan?”

Nampaknya saya tak perlu bercakap banyak. Orang kampung saya di Jabi dah cukup celik politik. Mereka juga tak ada tanya siapa calon PM dari PAS kerana mereka sudah cukup faham ini bukan gaya PAS berpolitik. Kerja nak menghadapi pilihanraya entah ke mana, cawangan tak wujud, mesyuarat agung tak cukup korum, markas cawangan tak ada, bilangan ahli cuma boleh dibilang jari tapi gegak gempita bincang bakal calon PM.

Kita PAS masuk pilihanraya dengan agenda yang sangat besar.

Perjuangan PAS bukan bermatlamatkan nak menaikkan orang ini sebagai PM dan menjatuhkan orang itu atau kerana nak mengalahkan mana-mana parti. PAS sebuah parti yang tegak atas keimanan bekerja untuk meninggikan syariat Allah.

Manusia atau parti yang menjadi penghalang ke arah tegaknya syariat Allah akan berhadapan dengan PAS walau siapa pun mereka dan apa nama parti mereka.

Kalau perjuangan Rasulullah kerana nak menjatuhkan Abu Jahal, maka selepas Perang Badar dan Abu Jahal kiok, selesailah tugas Rasulullah.

Kalau perjuangan PAS kerana nak mengalahkan Umno, maka Umno Kelantan dah kalah dan selesailah tugas PAS Kelantan.

Tapi hakikatnya kerja PAS belum selesai kerana syariat Allah belum tertegak di atas muka bumi Malaysia. Kita berjuang di medan siyasah, tarbiyah dan dakwah demi mencapai cita-cita ini.