Politik Dakwah Dan Peranan Pemuda

102

Oleh : Ustaz Fadhli Rahmi (UFR)

Setiap pemuda perlu menyedari sebagai seorang daie kita perlu mempunyai pemikiran dan perhatian yang cukup jelas terhadap jalan dakwah. Perhatian ini penting kerana hala tuju dakwah yang jelas akan membawa kepada hakikat untuk mencapai matlamat yang paling utama dalam dakwah.

Apabila kita melakukan gerak kerja politik dakwah, tujuan yang paling utama untuk mengajak manusia kembali kepada hakikat kejadian mereka bagi mengabdikan diri kepada Allah. Allah S.WT berfirman dalam surah Al Dzariyat ayat 56:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.

Hala tuju gerak kerja dakwah yang jelas ibarat kita membuka maps sebelum pergi ke sesuatu tempat. Sebelum membuat sesuatu perjalanan, kita akan membuka aplikasi waze agar kita dapat mengetahui arah perjalanan dan halangan yang ada dalam perjalanan tersebut. Tanpa waze kemungkinan kita akan sesat dalam perjalanan tersebut.

Begitulah perumpamaan seorang pendakwah dalam mengenal pasti tujuan dan matlamat dakwah. Tanpa hala tuju dan panduan yang jelas, pendakwah akan tersesat dan terjerumus dalam fitnah antaranya fitnah kekuasaan dan fitnah kekayaan.

Oleh sebab itu setiap pemuda hendaklah jelas bahawa tujuan utama dari gerak kerja politik dakwah kita adalah untuk mencapai keredhaan Allah. Dasar inilah yang telah diterjemahkan dari slogan Allahu Ghayatuna, Allah tujuan kita. Kita sedar bahawa hakikat kemenangan yang sebenar adalah kenikmatan syurga dan keselamatan dari api neraka.

Renunglah firman Allah dalam surah Al Saff ayat 10-13

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ (10) تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ (11) يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (12) وَأُخْرَى تُحِبُّونَهَا نَصْرٌ مِنَ اللَّهِ وَفَتْحٌ قَرِيبٌ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ (13) }

Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu jika kamu mengetahuinya, niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam surga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar. Dan (ada lagi) karunia yang lain yang kamu sukai (yaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.

Jikalau kita inginkan keuntungan duniawi, kedudukan atau pangkat carilah jalan lain selain dari jalan dakwah. Jalan dakwah yang kita tempuhi ini hanya memerlukan orang yang berani menempuh kesusahan dan bersiap sedia mengorbankan jiwa,harta, waktu dan segalanya demi mencapai keredhaan Allah.

Jadilah kita para pemuda yang ikhlas menjadikan gerak kerja politik dakwah kerana Allah dan menjauhi penyakit-penyakit hati yang boleh merosakkan matlamat dan hala tuju dakwah yang sebenar.

***Ustaz Fadhli Rahmi (UFR) ialah Timbalan Ketua DPPNT merangkap Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun