Polemik Jelek Jajaran Baru

99

DUNGUN – Dalam suasana negara masih diancam Pandemik, Pakatan Harapan dan sebahagian anggota Umno, membuat ‘perkiraan’ dan berpolemik jelek, mengusahakan ‘jajaran baru’ yang memualkan politik negara.

Ketua Dewan Pemuda PAS Dungun, Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, pada masa yang sama, rakyat sudah dapat menilai wibawa PAS Bersama Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sangat pedulikan rakyat.

“Biarkan mereka yang berterusan memikirkan tentang jawatan dan pangkat sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat.

“Insya-Allah kita akan mempertahankan kemenangan rakyat ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” ujarnya ketika ditemui pihak media pada Isnin 5 Julai.

Mengulas mengenai peralihan fasa kedua di Terengganu, beliau berkata, umumnya kejayaan itu disambut gembira terutama oleh warga Dungun.

“Insya-Allah kita pakat bantu dengan memberikan sokongan. Bukan itu sahaja bantuan seperti Pakej Bantuan Pemulihan Ekonomi Rakyat (PEMULIH) dari kerajaan Perikaatan Nasional (PN) sangat membantu mereka yang terkesan termasuk para peniaga.

“Dengan fasa kedua ini dapatlah memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang terlibat dalam beberapa sektor walaupun masih belum menyeluruh, kelihatan gerai perniagaan di sini telah mula dibuka.

“Bagi sektor lain yang masih tidak dibenarkan beroperasi, kami turut merasai denyut nadi mereka, perlu bersabar sedikit masa sahaja lagi untuk kita bebas sepenuhnya,” jelasnya.

Beliau berharap agar usaha yang dilakukan oleh kerajaan pusat dan juga Kerajaan PAS Negeri Terengganu dilipatgandakan oleh semua pihak.

“Supaya proses pemulihan negara ini akan dapat disegerakan , agar rakyat dapat bebas untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti keadaan sebelum dilanda pandemik ini ,”ujarnya.