PM Perlu Bertangggungjawab Penyelewengan Tanah Felda

1099
Kuala Lumpur Vertical City, di belakangnya adalah 'Balai Feda'

Isu skandal tanah Felda di jalan Semarak, Kuala Lumpur yang dipindah milik kepada sebuah syarikat swasta bernilai RM270 juta adalah siri skandal yang menggemparkan dan memalukan negara. Isu pertukaran tanah Felda membuktikan bahawa agensi itu menyimpan terlalu banyak masalah akibat kelemahan tadbir urus mahupun rasuah dan penyelewengan pemimpinnya.

2. Skandal terbaru ini terus membuktikan bahawa Felda adalah lubuk kemewahan bagi penyangak untuk mengambil kesempatan melalui ruang-ruang penipuan dan penyelewengan yang terlalu banyak boleh diterokai di mana-mana. Penipuannya pula bukan bernilai seringgit dua, tetapi bernilai ratusan juta ringgit. Aset yang boleh dicuri pula bukan hanya terletak di luar negara, tetapi tanah di depan mata sendiri pun boleh lesap begitu sahaja.

3. Kes ini dilaporkan berlaku pada 2015, diketahui oleh Pengerusi Felda sekarang, Tan Sri Shahrir Samad pada Januari 2017 dan hanya dilaporkan polis pada bulan Disember 2017. Selama dua tahun kemudian satu-satu penyelewengan yang berlaku baharu didedahkan, membolehkan sesiapa juga penipu, pencuri dan perompak sempat menukar status tanah, menyediakan bukti dan skasi-saksi yang diperlukan, menyiapkan dokumen transaksi yang ditipu, melantik peguam handal membelanya atau melarikan diri ke luar negara dengan mudah. Mungkin juga skandal yang berlaku hari ini, akan diketahui oleh orang ramai dua tahun lagi, walaupun pengerusi atau pemimpin telah sedia mengetahuinya sekarang.

4. Sebegitu mudah tanah Felda ditukar milik, umpama Felda dimiliki oleh seorang dua kerat pemimpin. Felda bukan syarikat persendirian milik individu, ia milik kerajaan. Di mana fungsi Ahli Lembaga Pengarah dan jawatankuasa yang lain di dalam memantau dan memandu arah perjalanan Felda. Tidak mungkin transaksi bernilai ratusan juta ringgit diuruskan dengan cepat, diam-diam dan mudah oleh segelintir pihak tanpa diketahui oleh kesemua pemimpinnya. Bagaimana pula kerajaan tidak boleh menghidu penipuan itu telah pun berlaku lebih dari dua tahun lamanya.

5. Skandal Felda berlaku di zaman Tan Sri Isa Samad, individu berprofil tinggi yang sering dipertikaikan. Pembangkang yang membantah pelantikan Tan Sri Isa Samad bukan bermakna mereka dengki atau benci dengan beliau, tetapi beliau memiliki rekod buruk dalam kepimpinannya. Bagaimana seorang yang pernah terpalit dengan rasuah, diberi peranan menjaga khazanah negara dengan jujur dan amanah? Pertikaian rakyat dengan kepimpinannya bermakna rakyat sayangkan negara dan Felda serta mahu menyelamatkan agensi itu daripada kemusnahan. Ternyata, satu demi satu skandal telah terbongkar di zamannya atau selepas zamannya. Bayangkan jika beliau beliau terus memimpin Felda, berapa bilion ringgit harta Felda pula hilang dan berapa banyak lagi tanah dan aset Felda jatuh ke tangan orang lain.

6. Apakah Perdana Menteri yang berkuasa melantik Pengerusi Felda dapat tidak boleh dipersalahkan atas kesemua kebejatan yang dilakukan oleh Pengerusi yang beliau sendiri lantik? Jika Tan Sri Isa Samad dilihat lemah dan banyak melakukan kerosakan, bagaimana pula individu yang melantik beliau? Apakah keistimewaan Tan Sri Isa sehingga diberi kedudukan sebegitu tinggi dengan mudah. Lebih dari itu, mengapa begitu sukar PM melihat lemahnya Tan Sri Isa memimpin sedangkan rakyat sendiri sudah melihat dan membantah pelantikannya sejak awal beliau mengemudi Felda lagi.

7. Saya begitu bersetuju dengan pandangan pihak bahawa Perdana Menteri tidak boleh berlepas diri dari menghadapi kesemua persoalan dalam Felda. Beliau perlu menjawab kesemua dakwaan yang dilemparkan, serta bertanggungjawab di atas kesemua skandal yang berlaku. Tan Sri Shahrir Samad pula perlu bercuti bagi siasatan dijalankan dengan telus sehingga isu ini selesai.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli jawatankuasa PAS Pusat