PM Jepun akui krisis loji nuklear ‘kritikal’

819

http://buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2011/03/japanpm.jpgPerdana Menteri Jepun, Encik Naoto Kan, semalam menegaskan negara itu kini berada dalam keadaan ‘amat berwaspada’ dalam usaha mengawal krisis nuklear yang sedang dialami.

Menurut beliau, krisis yang melanda negara itu merupakan yang terburuk sejak Perang Dunia Kedua.

‘Gempa bumi, tsunami dan kemalangan nuklear ini merupakan krisis terbesar bagi Jepun (dalam tempoh berdekad),’ kata Encik Kan di Parlimen, semalam.

‘Mulai sekarang, kita akan terus menanganinya dalam keadaan amat berwaspada,’ tegas beliau.

Gempa bumi sekuat 9.0 pada skala Richter pada 11 Mac lalu telah mencetuskan gelombang tsunami yang melanda wilayah timur laut Jepun.

Ia menenggelamkan bandar-bandar dan menyebabkan letupan pada loji tenaga nuklear Fukushima Dai-ichi.

Menurut polis, lebih 11,000 mayat telah dijumpai tetapi angka korban bencana gempa dan tsunami dijangka melepasi 18,000 orang.

Ratusan ribu penduduk masih tidak mempunyai tempat tinggal dengan kos kemusnahan ekoran bencana itu dijangka mencapai AS$310 bilion ($391 bilon).

Sejauh ini, para penduduk yang menetap dalam lingkungan 20 kilometer dari loji itu telah diarahkan berpindah.

Beberapa negara asing juga telah melarang import produk makanan dari wilayah Fukushima.

Sementara itu, Encik Kan terus berdepan dengan kritikan daripada ahli parlimen pembangkang, berkaitan cara beliau menangani bencana nuklear yang telah memasuki minggu ketiga itu.

‘Kami tidak boleh membenarkan anda menangani krisis ini. Kami tidak boleh membenarkan anda bertanggungjawab dalam pengurusan krisis Jepun ini,’ kata seorang Ahli Parlimen, Encik Yosuke Isozaki, di Parlimen semalam.

Sehubungan dengan itu, bahan radiasi dilaporkan telah merebak di serata Asia.

Pihak berkuasa China, Korea Selatan, Filipina dan Vietnam telah melaporkan bahan radiasi telah dikesan di wilayah mereka.

Namun, mereka menekankan kadarnya sangat rendah dan tidak menjejas kesihatan awam.

‘Kami menggesa orang awam agar tidak panik,’ kata jurucakap Institut Penyelidikan Nuklear Filipina, Cik Tina Cerbolis.

Pakar nuklear dari Greenpeace International, Cik Rianne Teule, menyokong pendapat itu sambil berkata:

‘Kadar (radiasi) yang sampai di negara-negara yang jauh adalah sangat rendah dan tidak menimbulkan risiko kesihatan yang besar,’ katanya.

Semalam, Majlis Tenaga Atom Taiwan berkata, partikel radiasi yang rendah kadarnya telah dikesan pada 43 penumpang dari Jepun sejak krisis nuklear itu berlaku.

Industri perkapalan juga kini prihatin tentang kapal-kapal yang perlu melalui perairan yang tercemar berdekatan loji itu.

Minggu lalu, pihak berkuasa China berkata bahan radiasi telah dikesan pada sebuah kapal Jepun yang berlabuh di bandar Xiamen. — AFP