KUALA TERENGGANU — Seksyen 377 Kanun Keseksaan dalam perlembagaan negara perlu dipinda bagi mengatasi kelompongan undang-undang berikutan kegagalan mendakwa individu yang ditahan dalam operasi berkaitan amalan songsang baru-baru ini.
Isu tersebut menimbulkan persoalan serius terhadap keberkesanan undang-undang sedia ada dan wajar diberi perhatian Parlimen bagi mengelakkan kekeliruan serta persepsi negatif masyarakat.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, keadaan menjadi janggal apabila risikan polis yang dijalankan dalam tempoh panjang, disusuli serbuan dan tangkapan, akhirnya tidak dapat diteruskan dengan pendakwaan di mahkamah.
“Apabila polis mentafsirkan sesuatu perbuatan itu sebagai kesalahan dan tindakan diambil, tetapi tiba-tiba tidak boleh didakwa, ia kelihatan tidak munasabah.


“Sebagai penggubal undang-undang, kita perlu meneliti sama ada tafsiran pihak Peguam Negara benar-benar tepat atau sebenarnya tiada peruntukan undang-undang yang mencukupi,” jelas Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu ketika dihubungi.
Amzad menegaskan, sekiranya didapati tiada peruntukan yang membolehkan tindakan diambil, maka undang-undang tersebut perlu diwujudkan atau diperkasakan kerana negara tidak boleh membiarkan amalan songsang dinormalisasikan dalam masyarakat.
Ahmad Amzad turut melahirkan kebimbangan terhadap jumlah tangkapan yang mencecah ratusan orang, dengan majoritinya melibatkan umat Islam, yang menurutnya memberi implikasi besar terhadap nilai moral dan sosial masyarakat.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pentadbiran PAS telah menunjukkan iltizam yang jelas dan konsisten melalui peruntukan undang-undang Syariah sedia ada serta pelaksanaannya, termasuk hukuman sebatan Syariah bagi kesalahan berkaitan LGBT dan khalwat berulang.
“Ini membuktikan Kerajaan Negeri Terengganu konsisten dari segi pendirian dan sikap dalam memelihara kemurniaan, akar nilai serta melindungi rakyat Terengganu daripada pengaruh unsur-unsur songsang,” tambah beliau.




























