Pilihanraya parlimen Mesir berlangsung dalam kebimbangan

825

KAHIRAH – Rakyat Mesir semalam keluar beramai-ramai untuk mengundi pada kali pertama sejak kebangkitan rakyat dan pemberontakan yang menggulingkan mantan presiden negara itu, Hosni Mubarak.

Namun, pilihan raya parlimen tersebut berlangsung ditengah-tengah kebimbangan bahawa para jeneral tentera yang menggantikan pemimpin yang digulingkan itu masih mahu mengekalkan kuasanya

Dalam masa sembilan bulan pertama selepas berakhirnya pemerintahan Mubarak selama 30 tahun, perubahan politik di Mesir gagal.

Pihak tentera kelihatan lebih menumpukan perhatian kepada usaha mengekalkan kuasa dan hak istimewanya daripada memulakan sebarang perubahan demokratik.

Kekecewaan tercetus pada minggu lalu hingga mengakibatkan protes ganas yang menyebabkan 42 orang terbunuh dan memaksa majlis tentera menjanjikan satu pemerintah sivil menjelang Julai depan.

Di Kahirah, Iskandariah dan kawasan-kawasan lain, para pengundi beratur dengan sabar dalam deretan yang panjang, dengan sebahagian besar daripada mereka berdebat tentang masa depan politik Mesir, yang mereka percaya, buat kali pertama, dapat dibentuk.

‘Bukankah pegawai tentera yang melindungi kami semasa revolusi itu? Apa yang diinginkan mereka di Tahrir?’ tanya seorang wanita dengan nada suara yang tinggi di bandar Nasr di Kahirah.

‘Mereka yang berada di Tahrir itu adalah para lelaki dan wanita muda yang menjadi sebab mengapa seorang lelaki berusia 61 tahun seperti saya ini keluar mengundi dalam pilihan raya parlimen buat kali pertama dalam hidup saya hari ini (semalam),’ kata seorang lelaki dengan sopan.

Kira-kira 17 juta rakyat Mesir layak mengundi dalam hari pertama daripada fasa dua hari undian tiga pusingan bagi memilih anggota dewan rendah negara itu, yang akan selesai pada 11 Januari depan.

Ditindas semasa di bawah pemerintahan Encik Mubarak, parti Persaudaraan Islam dan parti-parti lain yang berteraskan Islam menjauhkan diri daripada mencabar pemerintahan tentera.

Amerika Syarikat dan sekutunya di Eropah, yang sekian lama menyanjung perjanjian Mesir dengan Israel, menggesa pihak tentera agar memberi laluan secepat mungkin kepada pemerintahan sivil di Mesir.