Pilih Pemimpin Berdasar Kelayakan Bukan Populariti

99

DUNGUN – Ahli PAS di semua peringkat diberi peringatan agar memilih pemimpin di muktamar nanti, samada peringkat kawasan mahu pun pusat, berdasarkan kelayakan bukan bersandarkan populariti semata-mata.

Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu, Ustaz Jamaluddin Jusoh berkata, perkara itu sangat penting kerana ia akan menentukan masa hadapan perjuangan parti.

“Kerana yang terpilih ini akan mengepalai Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 akan datang di semua peringkat. Kita bertanggungjawab di sisi Allah untuk memilh mereka yang akan mewarnai dan melakari saf .

“Jangan buat lebih kurang, kena pandang serius bab ini tambahan pula kaedah pengundian nanti tidak dibuat sebagaimana biasa, tetapi melalui kaedah ‘Hibrid’.

” Dimana ada yang hadir ke muktamar scara bersemuka dan sebahagiannya akan mengikutinya melalui atas talian,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan PAS Cawangan Felda Jerangau, pada Rabu, 22 September.

Oleh itu beliau menegaskan agar, kekuatan perjuangan tidak hanya bergantung kepada pemimpin tertentu sahaja, tetapi kepada jamaah sepenuhnya.

“Kita berjuang bukan kerana peribadi berkenaan semata-mata, kerana itu kita perlu kuatkan akidah perjuangan tanpa mengira sesiapa pun yang memimpin selagi mana dasar parti terjaga kita akan terus bersama sehingga akhir hayat,” ujarnya.

Katanya, cabaran pada era kemenangan adalah amat besar yang memerlukab kerjasama semua pihak bagi meletakkan kembali kerja-kerja diatas landasan yang betul.

“kalau kita dengar dalam media sosial, ada ahli kita yang lemah semangat, kita perlu muhasabah semula untuk sama-sama merasai kemanisan berjuang

“Jangan menyebabkan kita gugur, sebaliknya perlu memperbaiki diri agar menjadi generasi yang boleh mempertahankan kemenangan dengan membina diri untuk terus menjadi ‘ansarullah’,” ujarnya.

Justeru kata beliau, jangan termakan dengan stigma yang ditanam oleh musuh, dalam usaha mempertahankan kemenangan.

“Mereka sedang menceritakan kepada orang-orangnya agar bertahan sedikit lagi, kerana akan kembali memerintah Terengganu.

“Sudah tentu kita tidak mahu apa yang diperkatakan oleh mereka benar-benar berlaku,” ujarnya lagi.