Oleh KAM
DUNGUN – Rakyat Terengganu termasuk masyarakat Tionghua hanya ada dua pilihan sama ada mengundi PAS atau Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, akan datang.


“Dari dahulu lagi PAS ini berlawan dengan Umno-BN, jadi tak timbul (dakyah) kata PAS mahu baik dengan Umno. Jika tidak PAS, Umno dan jika tidak Umno, PAS.
“Tahun ini (2017) mungkin akan ada pilihan raya dan di Terengganu ini yang akan berlawan, PAS dengan Umno (BN) sahaja,” kata Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sambutan Tahun Baharu Cina 2017 Peringkat Negeri Terengganu di Kampung Batu Lima, Paka, Dungun, Jumaat 20 Januari.


Bahkan, beliau cukup yakin dan optimis dengan kemampuan partinya bahawa PAS mampu menang dan kembali memerintah Terengganu buat kali ketiga.
“Pada pilihan raya akan datang ini dan mungkin tahun ini (2017) pilihan raya, tidak kiralah bila tarikhnya tapi PRU14 ini harap masyarakat rakyat Terengganu khususnya dan Malaysia amnya kena buat perubahan.
“Insya’Allah, PAS akan memerintah Terengganu Darul Iman buat kali ketiga dengan izin-Nya,” tegasnya dihadapan lebih 300 hadirin.
Justeru, katanya rakyat termasuk pengundi masyarakat Tionghua hanya ada dua pilihan sama ada memilih PAS atau Umno-BN.
Menurutnya, PAS telah wujud sejak tahun 1951 lagi dan pernah memerintah Terengganu sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1959 dan 1999.


“Sehingga tahun 2004, tidak ada satu diskriminasi pun yang berlaku terhadap masyarakat Tionghua. Masing-masing, dia (Cina) hal agama masing-masing. Masyarakat Islam agama dia (Islam) dan masyarakat Tionghua dengan agama dia sendiri.
“Maknanya, masyarakat Cina sudah ada di Terengganu dua kali semasa PAS memerintah negeri pada tahun 1959 dan 1999,” jelasnya.





























